Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media selepas merasmikan Pembukaan Konvensyen Wanita Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 14 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang akan diadakan malam esok akan menentukan kedudukan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Menurut Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, keputusan itu akan diputuskan oleh keempat-empat parti dalam BN dan bukan hanya terletak di tangan UMNO.

“Kita (BN) akan mengadakan mesyuarat malam esok kerana dalam gabungan ini tidak ada satu pihak yang memutuskan keputusan ia dibuat secara konsensus.

“Kita ada empat parti dan keempat-empat mesti setuju kalau satu tak setuju maka tidak boleh. Itulah kita lalukan, kalau terima ya, tapi kalau tidak, terima sahajalah.

“Saya tidak boleh cakap mengenai dua lagi parti yang ingin menyertai BN,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

PBM semalam berkata, pihaknya menerima apa sahaja kemungkinan berhubung permohonan parti itu untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Bakal presiden parti berkenaan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan itu dijangka diketahui sejurus selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN esok.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, keputusan permohonan PBM untuk menyertai parti itu akan dibuat kepemimpinan secara konsensus pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

PBM sebelum ini mengatakan pihaknya mengemukakan permohonan unutk menjadi salah satu komponen BN.

Permohonan itu bagi membentuk sebuah gabungan parti baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15. – MalaysiaGazette