Penyakit kencing manis dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kronik seperti sakit jantung, kerosakan saraf, penyakit buah pinggang, masalah penghadaman dan strok kepada seseorang.- Gambar hiasan.

NEGARA kita bukan sahaja terkenal dengan kepelbagaian etnik, kaum, makanan eksotik, tempat-tempat menarik tetapi turut menjadi ‘lubuk’ bagi pesakit diabetis atau lebih popular dikenali kencing manis.

Pakar Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Teoh Win Sern memberitahu, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, kira-kira satu daripada lima individu dewasa di negara ini didapati menghidap penyakit kencing manis.

Dr Teoh Win Sern

Jumlah mereka secara keseluruhannya dianggarkan seramai 3.9 juta orang dengan kapasiti umur lebih 18 tahun.

“Lebih mengejutkan di Perlis, penyelidikan mendapati seorang daripada tiga orang dewasa menghidap penyakit kencing manis kerana pelbagai faktor terutamanya pemakanan, gaya hidup dan obesiti.

“Ini amat merisaukan kerana sifat kencing manis merupakan penyakit pembunuh senyap iaitu silent killer kerana tidak mendatangkan gejala pada peringkat awal.

“Seseorang malah menyangka beliau sihat dan gembira kerana susut berat badan secara mengejut tanpa mengamalkan intermittent fasting (diet sela), makan makanan tidak sihat dalam kuantiti yang sama atau bersenam sedangkan realitinya kemungkinan besar beliau telah menghidap penyakit kencing manis,” kata Teoh.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, penyakit kencing manis dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kronik seperti sakit jantung, kerosakan saraf, penyakit buah pinggang, masalah penghadaman dan strok kepada seseorang.

“Bagi pasangan suami atau isteri pula ada kemungkinan boleh menyebabkan kemandulan yang mungkin membantutkan usaha mereka dikurniakan zuriat sendiri ,” katanya.

Dalam pada itu, Teoh menasihatkan mereka yang berusia lebih 30 tahun supaya melakukan saringan kesihatan penuh sekurang-kurangnya sekali setahun.

“Ini penting terutama bagi individu yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit kencing manis, obesiti, darah tinggi dan kolestrol, sejarah kencing manis semasa mengandung selain sejarah pernah melahirkan bayi yang beratnya melebihi empat kilogram.

“Sekurang-kurangnya, jika seseorang melakukan pemeriksaan awal dan didapati dalam kategori pra-diabetis langkah-langkah perubahan cara hidup boleh dilakukan untuk menurunkan paras gula ke tahap normal untuk mengelakkannya semakin menaik sehingga ke paras kencing manis.

“Sementara itu, pesakit kencing manis yang dikesan awal melalui pemeriksaan kesihatan dapat memulakan rawatan lebih awal supaya mengelakkan komplikasi teruk terhadap kesihatan pada jangka masa panjang,” katanya.

Faktor-faktor risiko mendapat penyakit kencing manis

– Berlebihan berat badan atau kegemukan

– Tidak bersenam atau gaya hidup tidak sihat

– Pengambilan makanan tinggi lemak dan kurang serat

– Perkaitan yang kuat dalam keluarga kerana faktor keturunan.-MalaysiaGazette