Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan perwakilan wanita BN selepas menghadiri Konvensyen Wanita Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 14 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Wanita Barisan Nasional (BN) digesa supaya mendekati para pengundi putih sebagai pendekatan baharu dalam usaha untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak berkata, ada beberapa perkembangan yang harus disedari mengenai pengundi putih dan ia perlu dititikberatkan jika mahu mendekatinya.

Katanya, kesemua mereka itu berada di luar keluarga UMNO, BN dan pendekatan yang bijak perlu digunakan untuk menambat hati mereka.

“Ini merupakan cabaran baharu kepada wanita UMNO dan BN. Apa cara kita apa pendekatan kita, kenalah fikir.

“Mungkin pendekatan di kawasan luar bandar boleh diteruskan…tapi di kawasan bandar, pinggir bandar macam mana?”soalnya ketika berucap pada slot Bicara Tokoh, sempena Konvensyen Wanita BN, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia hari ini .

Hadir sama pada Majlis itu Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Menurut Najib lagi, pendekatan yang hendak digunakan perlulah serasi dengan keadaaan semasa dan disebabkan itu Wanita BN perlu berfikir di luar kotak mengenainya.

“Mungkin kita kena buat program tertentu dengan jawatan kuasa penduduk, perumahan tempatan…mungkin kita kena buat call centre bersama-sama dengan peringkat Bahagian, Pemuda dan Puteri.

“Tapi mesti kita hubungi mereka, mesti kita kenal pasti mereka termasuk sebahgian besar termasuk pengundi luar yang merupakan faktor besar juga dalam menentukan kemenangan.

“Saya tegaskan perkara ini, saya minta kita fikir bersama supaya bacaan pengundi putih tu tepat…jangan tak tepat,” ujarnya.

Najib menegaskan, bacaan yang tepat itu penting penting kerana beliau memiliki pengalaman apabila Pengerusi Perhubungan Negeri pernah menghubunginya menyatakan BN telah menang pada PRU-14 lalu.

Bagaimanapun katanya, satu jam selepas itu maklumat yang diterima bercanggah apabila beliau dihubungi semula dan dimaklumkan bahawa BN telah kalah.

“Dia kata kita menang sebab pengundi putih semua sudah keluar. Soalnya apa sebab…silap tu, bacaan tak tepat, pengundi putih khianat kita atau pun apa?

‘Ini semua kita kena tahu seperti hari mengundi tu…kita semua kena integrated,” tambahnya. – MalaysiaGazette