Pengerusi Wanita Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berucap Perasmian Penutup Konvensyen Wanita Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Wanita Barisan Nasional (BN) menaruh keyakinan cadangan meletakkan 30 peratus calon golongan Hawa  bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan disokong oleh pengerusi gabungan parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Malah, tidak menjadi keterlaluan untuk Wanita BN menggesa kerajaan meminda Perlembagaan dengan menetapkan setiap parti wajib mengemukakan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita bertanding dalam PRU, kata Ketua Wanita BN dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad.

“PRN Johor turut membuktikan bahawa, jika wanita diberi peluang, kita mampu menyumbang kemenangan signifikan kepada Barisan Nasional.

“…dan saya juga percaya YB Datuk Seri Pengerusi BN menyokong perjuangan kami ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada Konvensyen Wanita BN Malaysia, di Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Noraini berkata, Wanita BN sentiasa menyokong perjuangan untuk memperkasakan dan mencapai matlamat 30 peratus penyertaan ahlinya dalam kalangan pembuat dasar negara.

Katanya, semakan realiti menunjukkan wanita di Malaysia masih ketinggalan dan belum mencecah sasaran seperti ditetapkan.

Tambah beliau, Laporan Global Gender Gap Report 2021 (GGGP 2021) turut menunjukkan, penyertaan wanita dalam bidang politik adalah paling rendah kedudukannya, iaitu di ranking ke-128 daripada 156 negara.

Dalam sektor pendidikan dan kesihatan serta kelangsungan
hidup pula, masing-masing berada di posisi ke-70 dan ke-74, katanya.

“Laporan GGGP 2021 turut menunjukkan, penyertaan wanita dalam bidang politik adalah paling rendah kedudukannya, iaitu di ranking ke-128 daripada 156 negara.

“Sungguh pun begitu, terima kasih kepada YB Datuk Seri Pengerusi BN kerana sentiasa memberikan kepercayaan kepada wanita untuk bertanding dalam pilihan raya,” katanya. – MalaysiaGazette