Mokhtar Senik
Mokhtar Senik

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama Pas Pusat, Mokhtar Senik hairan sikap beberapa pemimpin parti itu yang menuduh tulisannya cenderung ke arah menjaga Muafakat Nasional (MN) bersifat ‘melanggar’ jemaah dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan siapakah pemimpin-pemimpin Pas yang dimaksudkannya itu.

Mokhtar menyatakan beliau telah mengunjungi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin sebanyak beberapa kali bagi memastikan pendirian Pas yang sebenar dan terkini.

“Setiap kali itu juga Mursyidul Am menegaskan perlu dijaga simpulan MN agar tidak terlerai.

“Saya jadi hairan di mana celahnya mengatakan tulisan saya itu bercanggah dengan pendirian Pas,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Hubungan Pas dan UMNO semakin renggang selepas Pas menyertai Perikatan Nasional (PN) secara rasmi pada Ogos 2020 ekoran pendirian UMNO menolak sebarang kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beberapa pemimpin Pas termasuk Mokhtar berusaha merapatkan kembali hubungan antara kedua-dua parti tersebut yang dilihat penting bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) daripada berkuasa semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mokhtar menambah, yang terkini, Abdul Hadi dalam perjumpaannya dengan Dewan Ulama pada Sabtu lalu menegaskan hubungan antara Pas dan UMNO mesti diteruskan.

“Saya semakin hairan. Kumpulan yang sebelum ini mengatakan pendekatan mengeratkan hubungan PN dan MN itu sebagai pendekatan ‘langgar’ Presiden itu kumpulan mana sebenarnya?

“Jangan bersilat belakang Presiden. Asalkan siapa sahaja tak setuju dengan kamu lalu dianggap orang itu langgar presiden,” katanya.

Beliau mengingatkantindakan mereka itu tidak selamat dan boleh menyebabkan kumpulan berkenaan disingkirkan dari parti.

“Bila ahli tahu beza pendekatan kamu yang berkepentingan dengan pendirian sebenar presiden yang ikhlas untuk jemaah, kamu pasti akan ditendang keluar dari jemaah sebagaimana Muktamar 2015,” tegasnya. – MalaysiaGazette