Dua suspek warga tempatan yang terlibat dalam kegiatan mencuri kereta model lama dan meleraikan untuk dijual ke pasaran tempat kerana terdesak wang diberkas polis semalam. -Ihsan Polis IPD Ampang Jaya.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang leka meleraikan sebuah kereta berwarna putih Taman Bukit Sentosa Rawang, dicekup selepas polis menerima laporan kehilangan kereta Proton Wira yang hilang di tempat letak kereta di flat Jalan Pandan Indah.

Kereta warna kelabu itu diparkir di kawasan berkenaan kira-kira jam 9 melam pada hari Khamis lalu.

Bagaimanapun pemilik kereta itu terkejut apabila pada jam 8.30 pagi keesokan harinya kereta yang telah parkir itu telah tiada.

Mangsa kerugian RM5,000 ekoran kehilangan kereta tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas aduan itu, polis telah membuat serbuan ke atas dua suspek warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kecurian itu di sebuah rumah pangsa di Rawang lebih kurang 4.20 petang semalam.

“Semasa serbuan dibuat, kedua-dua suspek berusia 27 dan 31 tahun itu sedang meleraikan sebuah kereta berwarna putih dan nombor pendaftaran hadapan tiada manakala nombor casis kereta itu telah diganggu.

“Dalam pemeriksaan yang dijalankan, polis turut menjumpai serangkai anak kunci yang disyaki digunakan untuk mencuri kenderaan lama dan kesemua barang rampasan itu dibawa ke IPD Ampang Jaya bagi membantu siasatan lanjut.

“Suspek pertama tiada memiliki sebarang rekod jenayah manakala suspek kedua memiliki satu rekod jenayah lampau narkotik dan masih dikehendaki oleh polis,” ujar beliau.

Modus operandi suspek adalah mensasarkan motokar model lama diparkir di kawasan sunyi sebelum menggunakan kunci khas untuk menghidupkan enjin dan melarikannya sebelum meleraikan dan menjual di pasaran gelap secara haram.

Kedua-dua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dan telah dibenarkan direman selama empat hari bermula hari ini hingga 18 Ogos ini untuk membantu siasatan lanjut.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun keseksaan yang merujuk kepada melakukan kesalahan mencuri kenderaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun dan bolehlah dikenakan denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahannya, kata beliau.- MalaysiaGazette