Keadaan di sekitar Bandar Guayaquil yang terlibat dalam letupan oleh kumpulan samseng di Guayaquil, Ecuador. Foto Twitter @desalineadosec

GUAYAQUI, Ecuador – Sekurang-kurangnya lima terbunuh dan 26 lagi cedera dalam satu letupan yang melibatkan lapan rumah dan dua kereta awal pagi Ahad.

Menurut kerajaan Ecuador, letupan itu merupakan pengisytiharan perang oleh sebuah kumpulan jenayah terancang yang menentang kerajaan.

Pada sidang akhbar, pegawai kerajaan dilaporkan berkata, serangan itu ditujukan kepada dua lelaki yang menggunakan alias ‘Cucaracha’ dan ‘Junior’.

Serangan itu juga dikaitkan dengan Los Tiguerones, salah satu kumpulan jenayah terkemuka di Ecuador.

“Penjahat upahan terancang, yang telah lama merosakkan ekonomi, kini menyerang dengan bahan letupan,”

“Ia adalah pengisytiharan perang terhadap negeri,” kata Menteri Dalam Negeri, Patricio Carrillo dalam ciapan di Twitter selepas letupan itu.

Guayaquil telah menyaksikan tahap keganasan yang mengejutkan, termasuk mayat yang dipenggal, mayat digantung di jambatan dan beberapa siri rusuhan penjara yang mengakibatkan kematian antara beberapa kumpulan penjenayah yang bersaing.

Hampir 400 banduan terbunuh dalam enam rusuhan berasingan sejak Februari 2021.

Ecuador yang dijadikan sebagai salah satu laluan penyeludupan dadah jenis kokain dari Peru dan Colombia menyaksikan peningkatan mendadak dalam pembunuhan dan jenayah samseng baru-baru ini.

Darurat telah diisytiharkan di Guayaquil, sebuah bandar utama yang mempunyai paling ramai penduduk di negara itu selain menjadi hab perdagangan penting.

Darurat kali ini merupakan kali ke empat sejak Oktober tahun lalu ekoran keganasan kumpulan samseng di negara Andes itu.

Guayaquil telah disenaraikan sebagai bandar ke-50 paling ganas di dunia oleh Insight Crime.

Kadar pembunuhan Ecuador meningkat lebih cepat berbanding negara lain di Amerika Latin atau Caribbean pada tahun 2021. – BBC

(https://www.bbc.com/news/world-latin-america-62544570)