Onn Hafiz ketika menyampaikan pelantikan dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua WHIP, Ahli Majlis dan Pengerusi Yayasan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Pemimpin peringkat akar umbi termasuk ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, mereka yang dilantik harus melaksanakan tugas yang diamanahkan terutama membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, kemenangan BN pada PRU-15 itu sudah tentu menjamin kesan positif kepada pembangunan negeri.

“Kalau peringkat negeri kita menang bergaya tetapi peringkat Pusat kita tidak selari kerajaannya, mana mungkin peruntukan itu akan turun ke Johor?

“Oleh itu saya mahukan semua pemimpin di peringkat negeri dan pemimpin Pusat perlu selari supaya limpahannya turun ke Johor. Tengok sahaja bila kerajaan negeri dikuasai BN, banyak peruntukan untuk pembangunan di negeri ini.

“Justeru pemimpin akar umbi dari semua parti komponen buatlah kerja di kawasan masing-masing. Insya-Allah, PRU nanti BN bukan sahaja menang tapi menang dengan majoriti cukup memberansangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua WHIP, Ahli Majlis dan Pengerusi Yayasan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di sini hari ini. 

Dalam ucapan itu Onn Hafiz memberitahu, kerajaan negeri menerima peruntukan sejumlah RM11 juta daripada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique sementara RM10 juta daripada Menteri Sains, Teknologi dan Invovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Selain itu beliau berkata, semua pihak perlu pastikan kemenangan BN pada PRU-15 dapat direalisasikan kerana hala tuju kerajaan negeri masih panjang.

“Johor perlu terus bergerak setelah membazirkan tempoh empat tahun, dua tahun ketika ditadbir Kerajaan Pakatan Harapan (PH) manakala dua tahun lagi disebabkan pandemik Covid-19.

“Kerajaan BN sebelum ini semenangnya terkenal dengan jiwanya membantu rakyat namun apabila hilang kuasa segala fasiliti untuk bergerak dengan agensi kerajaan, PBT hilang begitu sahaja tetapi syukur kini kita sudah kembali,” jelas beliau.-MalaysiaGazette