Azhari Shaari
Azhari Shaari

KUALA LUMPUR – Gelombang anak muda menyokong UMNO yang sedang berlaku dalam media sosial ketika ini dikatakan mula merisaukan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, golongan muda terbabit bukan hendak menjadi hero.

Sebaliknya, menurut beliau, mereka mahu memperbetulkan fitnah yang dibuat oleh Rafizi dengan menyebarkan fakta yang tepat dan betul.

“Rafizi sebenarnya mula rasa risau sebab ramai anak muda mula mempertahankan UMNO di media sosial di mana ia tidak berlaku sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya harap Rafizi Ramli tolonglah hentikan politik fitnah dan jijik seperti ini. Kami juga tak takut kepada sesiapa dan kami hanya takut kepada Allah sahaja,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Azhari mengulas ciapan Twitter Rafizi semalam yang mendakwa ramai ‘budak baru nak up’ (BBNU) berlumba-lumba menjadi hero sejak beliau kembali aktif dalam politik.

Tangkap layar ciapan Twitter Rafizi Ramli.

Beliau turut menjelaskan tentang empat fasa ‘serangan’ Rafizi terhadap pemimpin-pemimpin UMNO khususnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Azhari mendakwa, fasa pertama bermula dengan penubuhan kumpulan sukarelawan ‘Ayuh Malaysia’ yang seterusnya digunakan untuk fasa kedua iaitu melancarkan serangan.

“Kalau anda semua perasan. Mula-mula dia fitnah Sapura Energy dan buat isu dengan fakta yang salah dan serang Datuk Seri Najib Razak.

“Bila fakta dia mula salah dan dipatahkan oleh Najib, dia mula hilang dan debat pun dia hantar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi dibelasah oleh Najib.

“Waktu itu nama dia kembali balik di bibir ahli PKR dan Pakatan Harapan (PH) dan nama Anwar rosak akibat debat dengan Najib. Dia berjaya pada fasa pertama,” katanya.

Azhari menambah, selepas gagal dalam isu Sapura Energy, Rafizi menggunakan isu kedua iaitu projek kapal tempur pesisir (LCS) dengan memutarbelitkan fakta.

“Tapi dipatahkan juga kembali dengan Kementerian Pertahanan terpaksa dedahkan aset pertahanan negara yang tidak sepatutnya ditunjukkan. Inilah akibat kerja fitnah dari Rafizi,” jelasnya.

Beliau juga percaya Rafizi akan membangkitkan beberapa kes lagi yang boleh disensasikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam hantaran lain, Azhari menyindir Rafizi kerana enggan berdebat dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil.

“Sekarang kita dah tahu dah perangai Rafizi. Hanya hebat di media sosial sahaja. Bila ajak berdebat dia lari.

“Dia tahu yang dia buat fitnah so memang tak berani lah nak berdebat depan-depan,” katanya. – MalaysiaGazette