Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 16 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR –  Sebanyak 4,053 permohonan membabitkan perjawatan tetap sebagai pegawai perubatan, pergigian dan farmasi diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga kini.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan penambahan jawatan tetap tertinggi pernah direkodkan di KKM sejak 2016.

“Kita membuat cadangan dan diterima Kabinet supaya penambahan jawatan tetap dimulakan pada tahun ini dan KKM menerima 8,672 permohonan.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,052 calon hadir untuk temu duga. Calon yang diluluskan tetap adalah seramai 3,215 untuk pegawai perubatan, 438 bagi pegawai pergigian dan 400 pegawai farmasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 di sini hari ini.

Khairy menambah, sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap setiap tahun ditawarkan kepada pegawai kontrak sejak dasar pengambilan secara kontrak dimulakan enam tahun lalu.

“Kita akan tentukan dasar nanti selepas bincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sama ada mereka yang tidak berjaya boleh memohon semula atau tidak pada tahun depan.

“Pandangan saya, eloklah untuk mereka dibenarkan berbuat demikian namun kita akan berbincang dari segi peraturan dengan SPA,” katanya.

Mengulas nasib pegawai perubatan yang gagal mendapat tempat, Khairy berkata, pihaknya memberi jaminan akan memastikan mereka mendapat laluan kerjaya, insentif dan peluang untuk menyambung latihan di peringkat kepakaran. – MalaysiaGazette