Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berucap pada Program Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) Sesi 2022 di Hotel Dorsett, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap pengasas mahu pun gerakan ajaran sesat di negara ini tanpa kebenaran Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya perlu menunggu Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa terhadap Ajaran Hadi Minallah sebelum tindakan dapat diambil.

“Cumanya masalah ajaran sesat yang Hadi Minallah ini dia masih baharu, kena ada fatwa dulu. Majlis Fatwa kena bersidang, lepas itu buat keputusan barulah kita boleh bertindak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dorsett hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian dan Watikah Pelantikan Akademi Daie Muda Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Pada Ahad lalu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesan cubaan untuk membawa ajaran Hadi Minallah masuk ke negeri itu untuk disebarkan kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata JAINJ mengesan cubaan ahli ajaran sesat berkenaan untuk menyebarkan fahaman mereka di Kota Tinggi.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi memantau aktiviti kumpulan ajaran yang sama.

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, siasatan dan tindakan terhadap ajaran sesat itu dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Dalam pada itu, jabatan agama Islam negeri-negeri digesa mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan ajaran sesat jika mengesan aktiviti itu di negeri masing-masing.

“Kalau ada tempat yang ada ajaran sesat termasuk mana-mana negeri, kalau perkara itu betul-betul berlaku, mungkin kita boleh menghubungi jabatan agama negeri masing-masing.

“Insya-Allah kalau kita dapat kenal pasti contohnya Wilayah Persekutuan, kita terus sahaja pergi dengan JAWI. Setakat ini kita belum dapat (kesan) pejabat operasi ajaran sesat ini secara fizikal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette