PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan tidak akan memotong peruntukan pendidikan dan perniagaan Bumiputera Melayu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jaminan itu diberikan oleh kerajaan meskipun negara kini terjejas dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
“Walaupun dalam keadaan agak payah pada waktu ini disebabkan keadaan dunia yang tidak menentu tapi saya boleh memberi jaminan apa-apa pembangunan berkaitan pendidikan dan perniagaan Melayu dan Bumiputera tidak akan dipotong bajetnya oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Lantaran itu, beliau menaruh harapan agar Mara akan terus berkembang menjadi sebuah organisasi yang mendapat pengiktirafan kecemerlangan dalam isu pendidikan dan keusahawanan dan berjaya dalam pelaburan.
“Saya tahu ada banyak cabaran yang hendak dihadapi tapi saya harap ini dapat dilakukan dengan terbaik agar kita dapat pengiktirafan cemerlang dalam hal pelaburan yang setanding dengan institusi pelaburan di luar,” tambah beliau.
Ujar beliau, kerajaan akan berusaha untuk meningkatkan sesebuah perkhidmatan dengan lebih dinamik sekali gus membina negara yang gemilang.
Terdahulu, seramai 819 pegawai dan kakitangan Mara menerima penghargaan APC untuk perkhidmatan yang cemerlang sepanjang tahun lalu.
Selain menekankan kecemerlangan perkhidmatan dalam kalangan kakitangan, Mara dalam masa yang sama memberi peluang pekerjanya melanjutkan pelajaran.
Menurut Mahdzir, pada tahun ini, agensi itu membelanjakan RM3.5 juta untuk memberi peluang seramai 26,000 pegawai dan kakitangannya melanjutkan pengajian khusus untuk latihan dan pembangunan dengan sasaran 450 kursus merangkumi generik dan fungsian.-MalaysiaGazette