KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO kesal dengan sikap Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang didakwa memberi gambaran negatif terhadap Barisan Nasional (BN) dalam isu projek kapal tempur pesisir (LCS).
Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sekiranya ada pemimpin UMNO terlibat dalam penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah berkaitan projek tersebut, Ahmad Fadhli mesti membuktikannya dan memberitahu nama individu terbabit.
Menurut beliau, sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Ahmad Fadhli sepatutnya sedar laporan PAC tidak menyebut mana-mana menteri atau pemimpin UMNO.
“Jadi, yang saya dan kita faham setakat sekarang adalah masalah pengurusan projek dan kelewatan. Bagi kami Pemuda UMNO Malaysia, Ahmad Fadhli sengaja mewujudkan niat jahat dan cuba menimbulkan persepsi imej tidak baik kepada UMNO seperti mana biasa yang sering Pas lakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ahmad Fadhli dalam kenyataannya menyatakan beliau hairan dengan sikap pengikut-pengikut ‘parti tertentu’ yang melenting dengan isu-isu melibatkan duit rakyat.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, dalam isu LCS, pihaknya meminta siasatan yang adil dilakukan dan dibawa kepada mahkamah jika ada bukti penyelewengan.
Syed Mohd. Johan turut mempersoalkan sama ada Ahmad Fadhli sengaja memberi gambaran negatif seolah-olah ada pemimpin BN yang terlibat dengan isu LCS.
“Jangan hanya pandai menegur orang sedangkan tuduhan Yang Berhormat itu sendiri agak keterlaluan,” katanya.
Beliau menambah, Pemuda UMNO sentiasa konsisten dengan pendirian bahawa tindakan undang-undang mesti disegerakan jika terdapat salah laku melibatkan mana-mana pihak termasuk pemimpin parti itu sendiri.
“Pemuda UMNO juga mengucapkan syabas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana hari ini telah ada dakwaan di mahkamah terhadap mereka yang disyaki terlibat dalam isu LCS,” katanya. – MalaysiaGazette