Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga faktor utama kenapa kebanyakan negeri, bukan sahaja Kelantan berdepan dengan masalah air.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, faktor itu ialah tarif air, sumber bekalan air dan loji rawatan air.

Mengenai tarif air, katanya, syarikat-syarikat operator air berdepan dengan masalah kedudukan kewangan yang sangat kritikal akibat tarif air tidak dinaikkan.

Beliau memberi contoh, semakan kali terakhir tarif di Pahang ialah pada 1983, Perlis (1996), Terengganu (1997) dan Kedah (2010).

“Sebahagian besar tarif air ini tidak dapat membiayai kos operasi bagi syarikat-syarikat operator air.

“Oleh itu, secara keseluruhannya, bukan sahaja Kelantan berdepan dengan masalah air, boleh dikatakan hampir semua negeri ada masalah air,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, faktor kedua ialah sumber bekalan air yang menyebabkan kos rawatan di loji agak tinggi.

Menurut Tuan Ibrahim, di Kelantan sebanyak 70 peratus bekalan air diambil bawah tanah yang menyebabkan kos rawatannya tinggi.

Namun, katanya, bagi mengatasi faktor ketiga, pihaknya menjangkakan untuk membina sebuah loji takungan air yang besar di Machang, Kelantan dengan kapasiti 500 juta liter sehari melibatkan kos RM1.3 bilion.

Manakala projek kedua terbesar ialah di kawasan Pasir Putih, Kelantan yang akan membekalkan air 50 juta liter sehari bagi menampung kawasan Bachok, Pasir Putih dan sekitarnya.

“Satu lagi ialah projek menampung bekalan air di kawasan Pasir Mas di sebelah Sungai Kelantan.

“Kita menjangkakan dengan siap tiga projek besar ini akan menyelesaikan masalah air di Kelantan,” katanya. – MalaysiaGazette