Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika bercakap pada sidang media selepas selesai Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 16 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedia mempertimbangkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan melalui dokumen Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan ketika ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan itu dialu-alukan kerana cara kerja perkhidmatan kementeriannya sesuai untuk menubuhkan suruhanjaya tersebut.

“Mestilah satu perkhidmatan yang sangat luar biasa bagi (sektor) yang memerlukan penubuhan suruhanjaya. Kalau tanya kepada KKM, ya kita memang perlukan (penubuhan suruhanjaya) supaya tidak tertakluk kepada dasar di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan seorang panel mengenai penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan pada masa akan datang.

Khairy menambah, penubuhan suruhanjaya itu juga membolehkan pengurusan lebih terancang khususnya bagi meningkatkan jumlah perjawatan dan elaun pekerja kementerian itu.

“Saya bagi contoh, jika hendak perjuangkan elaun tertentu dalam KKM, kita tertakluk kepada dasar umum Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Corak kerja perkhidmatan kesihatan ini lain (misalnya) jururawat bukan kerja waktu pejabat, lain waktu kerja.

“Kalau saya kata nak hari ini ada Suruhanjaya Kesihatan, bimbang pula ia akan menjadi fokus (dalam Kertas Putih Kesihatan) tetapi ia boleh dibincangkan dalam kerangka kertas putih,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast