KUALA LUMPUR – Malaysia yang dijangka menjadi negara tua pada tahun 2030 dengan 15.3 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas memerlukan kediaman yang selesa.
Sebagai persediaan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang menyediakan mekanisme pemajuan kediaman bagi warga emas yang bercirikan kemudahan kesihatan, rekreasi, kehidupan berdikari dan elemen kerohanian serta unsur budaya masyarakat Malaysia yang dapat diterapkan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, KPKT melalui PLANMalaysia telah mengeluarkan Garis Panduan Perancangan Fizikal Warga Emas.
“Ia memberikan panduan perancangan fizikal dalam merancang, membangun dan merekabentuk petempatan atau residensi warga emas seperti perumahan khas warga emas bagi perumahan bertanah iaitu biasa atau strata, perumahan berbilang tingkat dan bangunan binaan khas.
“Trend global menunjukkan warga emas berkeinginan untuk kekal aktif, sihat dan hidup berdikari serta mengelakkan pengasingan sosial,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang bertanyakan usaha KPKT dalam menyediakan perumahan inklusif dan kebolehcapaian yang baik menjelang Malaysia sebagai negara tua pada 2030.
Menurut Ismail, golongan itu memiliki tahap produktiviti yang tinggi berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini dan juga berupaya menyumbang kepada pembangunan negara.
Justeru, KPKT sentiasa prihatin dalam memastikan kebajikan warga emas terpelihara khususnya dalam aspek perumahan. – MalaysiaGazette