Nor Hizwan Ahmad

KUALA LUMPUR – Pimpinan Tertinggi Parti Bangsa Malaysia (PBM) bersedia untuk berunding bersama Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) sekiranya terdapat sebarang isu atau perkara yang perlu dijelaskan sebelum apa-apa keputusan dibuat berhubung permohonan parti itu.

Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad berkata, sebagai sebuah gabungan parti paling lama di Malaysia, sudah tentu BN perlu membuat keputusan dengan memberikan pertimbangan terhadap pelbagai perkara sebelum mencapai konsensus untuk menerima kemasukan baru.

”PBM telah menerima maklum mengenai keputusan Dewan Tertinggi BN mengenai penangguhan keputusan bagi PBM untuk menyertai Barisan Nasional sebagai salah sebuah parti komponen.

“PBM menghargai keputusan BN untuk membincangkan perkara ini dengan lebih teliti sebelum keputusan rasmi dikeluarkan kelak,” katanya sambil menambah permohonan PBM untuk menyertai BN adalah demi kestabilan dan keharmonian politik Malaysia.

Tambahnya, PBM percaya perubahan-perubahan positif hanya akan dicapai jika negara ini ditadbir oleh gabungan parti politik yang kukuh dan berupaya untuk memperjuangkan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Semalam, Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang berakhir lewat malam tadi tidak membuat keputusan mengenai permohonan PBM untuk menyertai gabungan itu.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya masih belum memperhalusi permohonan keenam-enam parti termasuk PBM. – MalaysiaGazette