Dr. Ahmad Azam Hamzah

KUALA LUMPUR – Seorang senator memberitahu Dewan Negara, beliau hairan kenapa Kelantan ketinggalan begitu lama dalam masalah air berbanding negeri lain.

Senator Dr. Ahmad Azam Hamzah lantikan PKR berkata, sedangkan sumber air adalah keperluan asas semua rakyat.

Sehubungan itu, beliau mengajukan pertanyaan kepada menteri berkaitan, agaknya berapakah kos keseluruhan yang diperlukan untuk menaiktaraf bekalan air di Kelantan.

“Sebab pada pengamatan saya, negeri paling lama menghadapi masalah di Malaysia ini adalah Kelantan. Sejak dulu lagi masalah ini membelenggu rakyat negeri ini, saya rasa bukan belasan tahun, malah puluhan tahun berlarutan.

“Saya amat prihatinlah.. saya rasa kalau apa juga masalah, berapa banyak dana yang diperlukan, saya rasa kita perlu bantu Kelantan ini sebaik mungkin, sebab masalah ini sudah terlalu lama.

“Sahabat-sahabat saya di Kelantan beritahu dalam dua tiga bulan kebelakangan ini lagi parah keadaan bekalan air di sana. Jadi, saya rasa kita perlu buat sesuatulah untuk selesai masalah ini,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menjawab pertanyaan itu berkata, penyelesaian kepada isu air di Kelantan memerlukan tindakan berterusan secara proaktif melibatkan tiga aspek utama.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Kata beliau, tiga aspek utama itu ialah pembangunan aset-aset air, pemantapan tadbir urus melalui kemampanan kewangan dan intervensi kawal selia yang lebih berkesan.

Mengenai peruntukan bagi pembangunan aset-aset bekalan air di Kelantan, jelas beliau, ialah RM664.8 juta oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di bawah OP4 (2021-2023), RM49 juta di bawah peruntukan kerajaan negeri, RM124 juta peruntukan pembangunan di bawah RP2 RMKe-12 dan RM381,000 di bawah inisiatif Projek Wakaf Air melibatkan lapan projek.

Menurut Tuan Ibrahim, fokus diberikan kepada penerokaan sumber air baharu, peningkatan kadar rizab margin air terawat, menangani isu kehilangan air, perluasan program penggantian dan pemasangan paip air dan sistem retikulasi, serta pemodenan sistem teknologi maklumat.

Beliau berkata, antara projek yang telah dilaksanakan bagi peningkatan rizab margin dan sumber air di Kelantan adalah pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Telok berkapasiti 30 juta liter sehari (JLH) dengan kos keseluruhan sebanyak RM48.7 juta secara pinjaman.

Projek lain ialah pembinaan LRA oleh kerajaan negeri iaitu LRA Mini Ketereh berkapasiti 8 JLH dengan kos RM10 juta yang telah siap pada Mei 2022, LRA Telok Mesira, Bachok berkapasiti 3 JLH dengan kos RM2.7 juta yang dijangka siap pada Ogos ini dan LRA Mini Jelawat berkapasiti 4 JLH yang dijangka siap November 2022.

“Setelah semua LRA ini mula beroperasi, kadar liputan bekalan air di Kelantan dijangka dapat ditingkatkan daripada 71.7 peratus kepada 80 peratus dengan peningkatan kapasiti pengeluaran air terawat keseluruhan sebanyak 40 JLH.

“Dari aspek intervensi kawal selia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menubuhkan Jawatankuasa Khas ‘Task Force‘ Isu Bekalan Air di Kelantan bermula November 2021 yang bertanggungjawab memantau dan menyelaras projek-projek bekalan air di negeri itu,” katanya. – MalaysiaGazette