Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang gadis remaja yang keluar makan bersama kenalannya didakwa dirogol bergilir-gilir oleh tiga remaja lelaki di sebuah rumah di Damansara Damai pada Jumaat lalu.

Nasib malang menimpa mangsa berusia 19 tahun itu apabila terpedaya dengan ajakan rakan lelakinya yang konon ingin membawanya memakan sate.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya padai Jumaat lalu telah menerima laporan daripada bapa mangsa yang anaknya telah dirogol bergilir-gilir oleh tiga suspek lelaki berkenaan.

“Suspek pada mulanya memberitahu mangsa yang dia ingin makan sate bersama dan meminta wanita terbabit datang ke rumahnya sekitar pukul 1 pagi.

“Bagaimanapun ketika tiba di rumah, suspek meminta mangsa masuk sekejap ke dalam rumah terlebih dahulu.

“Tidak lama kemudian mangsa diminta masuk ke dalam bilik kononnya takut dimarahi rakan serumah suspek jika melihat kehadiran wanita lain.

“Bagaimanapun, keadaan bertukar ngeri untuk mangsa apabila dia bukan sahaja diperkosa lelaki terbabit ketika berada di dalam bilik malah dua lagi lelaki yang tinggal di rumah berkenaan turut merogol mangsa,” katanya.

Tambah beliau, selepas diperkosa, mangsa nyaris dipukul dengan topi keledar ketika merayu agar dilepaskan.

Katanya, mangsa yang trauma dengan insiden itu kemudian menghubungi rakannya meminta pertolongan selepas suspek meninggalkan rumah rumah itu.

“Mangsa hanya dilepaskan suspek sekitar pukul 5 pagi sebelum berjaya diselamatkan oleh rakan dan bapanya sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara,” katanya.

Kemudian, dalam satu kenyataan berkaitan perkembangan terbaharu insiden itu, polis telah menangkap tiga lelaki suspek warga tempatan di dua lokasi berlainan di kawasan Saujana Damansara Damai dan Bandar Sri Damansara kerana disyaki terlibat dalam kejadian jenayah rogol itu.

Suspek masing-masing bekerja sebagai tukang gunting rambutm pemandu lori dan penunggang e-hailing makanan berusia 21 hingga 23 tahun mengaku terlibat dengan kes rogol yang disiasat polis.

“Semakan polis mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kesemua mereka kini direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut polis.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun jika disabitkan kesalahannya,” tegasnya.- MalaysiaGazette