Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bercakap kepada media selepas mengadakan Operasi Bersepadu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Pasar Borong Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Pemilik kelab Komedi Crackhouse telah disenaraihitamkan seumur hidup daripada terlibat sebarang operasi perniagaan dan mendaftarkan lesen perniagaan di mana-mana premis di ibu negara.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perlesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 29 Julai lalu.

“Mesyuarat itu bersetuju untuk membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

“Malah, kita juga mengambil keputusan untuk menyenaraihitam pemilik kelab ini untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya.

“Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan selepas ini,” katanya pada sidang media di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi Kelab Komedi di TTDI Digantung Sementara. Polis Tak Halang Bantuan Banjir Baling #MGFlash

Gantung lesen Crackhouse tindakan tepat – Dewan Muslimat Pas

Pengasas kelab komedi Crackhouse sudah ditahan polis

Terdahulu beliau mengetuai Operasi Bersepadu tangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin di Pasar Borong Kuala Lumpur bersama Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman dan Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, di sini, hari ini.

Dalam perkara sama, Jalaluddin menambah, pihaknya juga sedang memantau secara dekat beberapa kelab yang disyaki terbabit dengan aktiviti seumpama itu di sekitar ibu negara.

“Sebarang lesen hiburan yang kita kemuka dan keluarkan kepada setiap premis mesti mengikut peraturan ditetapkan dan bagi mana-mana pihak yang melanggar syarat perlesenan yang ditetapkan DBKL tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

“Pada masa sama, tindakan, pemantauan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berkala oleh DBKL kerana kita tidak mahu ada yang terlepas daripada tindakan kami dan DBKL juga tidak akan bertolak ansur dalam hal ini,” tegasnya.

Terdahulu, pada 13 Julai lalu, Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, yang digantung sementara operasi oleh DBKL pada 10 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Sebelum ini, Jalaluddin berkata, pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi tidak memiliki lesen hiburan.

Manakala pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel telah ditahan dan disiasat polis atas dakwaan mengeluarkan serta memuat naik video jelik di media sosial yang dikatakan menyentuh sensitiviti perkauman.

Dia kemudian didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lalu sebelum mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

Aktiviti di premis itu mencetuskan kontroversi apabila tindakan seorang wanita, Siti Nuramira Abdullah, 26 menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi tersebut tular di media sosial.

Dia kemudian dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

Teman lelakinya yang juga penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial pada hari sama. – MalaysiaGazette