Nuridah Salleh
Nuridah Mohd Salleh

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tepat apabila menggantung lesen premis yang menjadi tempat Siti Nuramira Abdullah menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika membuat persembahan baru-baru ini.

Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh dalam masa yang sama berkata, arahan daripada Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama supaya tindakan tegas dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga membuktikan komitmen untuk mengelakkan agama Islam dipersendakan.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil dengan segera supaya rakyat tidak menjadikan agama sebagai bahan lawak.

“Syabas atas tindakan pantas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah menggantung sementara operasi premis berkenaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menahan wanita tersebut.

“Dewan Muslimat Pas Wilayah Persekutuan menyeru rakyat Malaysia agar tidak menjadikan agama sebagai bahan sendaan dan semua pihak mesti bekerjasama untuk menghalang perkara sebegini dari berleluasa demi keharmonian negara,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam, pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse, Rizal Van Geyzel ditahan bagi membantu siasatan berkaitan tiga video yang tular yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Beliau dipercayai akan ditahan reman hari ini.

Sebelum ini, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah atas tuduhan menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam.

Turut dituduh, teman lelakinya V Alexander Navin, 38 turut dituduh secara berasingan kerana memuat naik hantaran jelik di media sosial dengan niat menyakitkan hati. – MalaysiaGazette