RS Thanenthiran mengiringi Datuk Seri Najib Razak hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Di kala hampir semua pemimpin ‘diam’ tidak bersuara berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak bagi prosiding rayuan akhirnya, Presiden Makkal Sakthi tampil bersuara.

Bercakap dengan MalaysiaGazette lewat malam tadi, Datuk Seri RS Thanenthiran berkata, beliau juga hilang kata-kata kerana setiap permohonan yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu mempunyai hujah dan fakta cukup kuat.

Namun, seandainya itu keputusan mahkamah, Thanenthiran percaya Najib tidak akan sesekali berputus asa.

Sebaliknya, Najib akan terus berjuang untuk membuktikan kebenaran itu sehingga ke saat akhir.

RS Thanenthiran

“Memang kecewa, sedih. Tetapi itu tidak bermakna kita sudah berputus asa. Datuk Seri Najib yang saya kenali bukanlah seorang yang cepat melatah atau berputus asa. Beliau kecewa tetapi dia sangat kuat malah beliau juga yang berikan kami semua kekuataan dan semangat semalam.

“Itulah Datuk Seri Najib, bukan sahaja beliau kuat sebaliknya walaupun berdepan dengan apa jua dugaan, beliau tetap tinggi daya juangnya. Sehingga kini, bukan sahaja beliau fokus pada kes-kes mahkamah beliau sebaliknya pada masa isu-isu rakyat, beliau paling lantang sekali.

“Dengan fakta dan bukti kukuh, beliau terus berbicara. Beliau terus menjadi suara kepada rakyat. Kerana itu juga, kami semua kuat di sisi beliau. Semoga kebenaran muncul juga pada akhir prosiding ini nanti,” katanya penuh emosi.

Saya terkejut dan kecewa dengan keputusan mahkamah – Najib

Semalam panel lima hakim Mahkamah Persekutuan menolak pasukan pembelaan Najib untuk memasukkan bukti tambahan yang dikatakan bukti baharu yang membabitkan kedudukan Mohd Nazlan dalam Kumpulan Maybank, sebelum rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International yang dihadapi bekas Presiden UMNO itu.

Panel yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat turut menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding akhir rayuannya antara tiga hingga empat bulan bagi membolehkan barisan peguam baharu yang dilantik itu bersedia dengan hujahan lebih baik.

Najib pula ketika ditemui pemberita tetap bersemangat untuk terus melawan semua pertuduhan yang disabitkan terhadapnya walaupun selepas permohonan memasukkan bukti baharu dan penangguhan prosiding rayuan ditolak oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding rayuan akhir itu bermula esok jam 9.30 pagi.

Mahkamah tolak lagi permohonan Najib, prosiding akhir rayuan tak akan ditangguh

Ini juga peluang terakhir mempertahankan diri, perkara itu akan dibentangkan Najib melalui peguamnya, bersandarkan 94 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada tujuh tuduhan menyeleweng dana SRC.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan akan mengemukakan rayuan terakhir bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC. -MalaysiaGazette