KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dikatakan menganggu seorang gadis remaja ditangkap dan diikat oleh abang mangsa dalam satu kejadian di Gombak dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian itu turut tular selepas rakaman video berdurasi 13 saat menunjukkan lelaki dalam keadaan terikat dan duduk di tepi sebuah kereta peronda polis dimuat naik di media sosial.
Beliau turut mengesahkan pihak pasukannya telah menerima maklumat mengenai suspek berusia 21 tahun diikat oleh seorang lelaki gara-gara tidak puas hati selepas mendapati suspek mengganggu adik perempuannya.
“Siasatan lanjut juga mendapati bapa kepada gadis remaja itu tidak mahu membuat laporan polis dan membesarkan perkara itu kerana dia mengenali rapat suspek dan keluarganya.
“Kedua-dua pihak kemudian telah bersetuju untuk menyelesaikan salah faham berkenaan secara baik tanpa memanjangkan perkara itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau pada masa yang sama turut menafikan dakwaan kononnya video yang tular itu adalah membabitkan jenayah ragut jalanan.
Ujar beliau, polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan sebarang jenayah kes ragut di kawasan berkenaan pada masa tersebut.
“Polis dalam perkara ini ingin menasihati orang ramai agar berfikir secara bijak dan menilai sesuatu perkara sebelum mengeluarkan sebarang komen dan tindakan lanjut mengenainya selain tidak bertindak terburu-buru membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam,” tegasnya.- MalaysiaGazette