KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melabur kira-kira RM20 bilion setahun dalam tempoh 28 tahun akan datang sebagai perbelanjaan modal dalam inisiatif mempercepatkan pelan peralihan tenaganya sempena aspirasi mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pelaburan tersebut akan membuka jalan kepada TNB melakar perjalanan mencapai aspirasi sifar bersihnya dan mencipta peluang meraih lebih dua kali ganda perolehan sebelum cukai dan faedah (EBIT).
”Perjalanan Peralihan Tenaga Bertanggungjawab ini akan membawa pertumbuhan perniagaan yang positif kepada kumpulan, sambil kami mempercepatkan usaha untuk nyah karbon,” katanya pada TNB’s Energy Transition Plan 2050 Gallery Walk di Kuala Lumpur.
Acara ini diadakan untuk memberikan butiran lanjut mengenai inisiatif TNB dalam mempercepatkan usaha mencapai aspirasi kemampanannya.
Awal bulan ini, TNB mengumumkan inisiatif untuk menyegerakan agenda kemampanannya (yang diumumkan pada
Ogos tahun lepas) dan berkongsi kemajuan Pelan Peralihan Tenaga.
Kumpulan syarikat utiliti itu akan terus melabur dalam Grid Masa Hadapan, TNB bakal mengembangkan aset kawal selia itu kepada RM100 bilion menjelang 2050.
“Kami akan terus membangunkan kesalinghubungan grid serantau yang akan membolehkan pengluasan pengagihan sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB), sekali gus membantu nyah karbon sistem tenaga ASEAN di samping mengukuhkan keselamatan bekalan.
”Grid ini akan memberikan Kumpulan potensi pendapatan sebanyak RM7 bilion menjelang 2050,” katanya.
Baharin juga berkata, TNB sedang mempercepatkan agenda kelestariannya dan ini memerlukannya melakukan anjakan besar merentasi rantaian nilai dalam memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan.
”Disokong oleh pasaran domestik yang stabil, aspirasi Peralihan Tenaga akan memberikan kami keupayaan tambahan, teknologi dan modal yang penting untuk masa depan lebih lestari. Inisiatif segera kami sepanjang peralihan ini didorong oleh rasa tanggungjawab yang mendalam, memandangkan peranan TNB dalam landskap tenaga negara, serta rasa mendesak untuk
memastikan kelestarian perniagaan kami,” ujarnya.
Selain memperkasa Grid Nasional, TNB sedang mengambil tiga inisiatif lagi untuk menyegerakan agenda kemampanannya yang melibatkan anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) serta New Energy Division (NED) TNB dan bidang kenderaan elektrik (EV).
Mengenai TNB Genco, beliau berkata, pecutan pelan penyahkarbonan TNB akan meningkatkan nilai perusahaan Genco untuk membolehkan pelaksanaan Tawaran Awam Permulaan (IPO).
TNB Genco menyasarkan untuk memperoleh anggaran pendapatan RM40 bilion daripada pasaran penjanaan domestik menjelang 2050.
Selain itu, TNB sedang meneroka projek gas dan kuasa hidro di ASEAN dengan sasaran kira-kira 800 megawatt (MW) menjelang 2050.
Dalam mengembangkan portfolio Tenaga Boleh Baharu (TBB), NED menyasarkan kapasiti 14.3 gigawatt (GW) menjelang 2050 dengan anggaran pelaburan ekuiti AS$7 bilion.
”Strategi NED untuk meningkatkan pelaburan dalam solar berskala besar serta angin darat dan luar pesisir, dengan tumpuan dalam pasaran sedia ada di Malaysia dan United Kingdom serta pasaran baharu di Sepanyol, Ireland, Perancis, Thailand, Filipina, Vietnam, Australia, Taiwan dan Korea.
”Kami komited untuk melabur RM90 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk memacu penggunaan EV, mencapai 500,000 kereta menjelang 2030 yang akan menyumbang RM1.25 bilion hasil elektrik setahun,” tambahnya. – MalaysiaGazette