Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO bertegas untuk tidak sesekali mencampuri urusan mahkamah namun percaya keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi ia juga mesti dilihat dilaksanakan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian sambil melahirkan rasa dukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak memasukkan bukti tambahan membabitkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

“UMNO memandang berat pendedahan berkaitan Hakim Mohd Nazlan berkenaan tuduhan penglibatan beliau dalam penubuhan SRC International Sdn. Bhd. Walhal beliau juga adalah hakim yang menjatuhkan hukuman ke atas Najib dalam kes bersabit syarikat yang sama.

“Kedudukan Nazlan sebagai peguam dan setiausaha Maybank pada tahun 2006 sudah tentu memberikan akses besar kepada beliau dalam isu pentadbiran bank berkenaan. Termasuklah bagaimana wang RM42 juta iaitu sebahagian daripada RM140 juta yang dipinjamkan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development boleh dipindahkan ke akaun Najib yang akhirnya menjadi punca dakwaan ke atas beliau,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Ahmad Zahid, sudah menjadi satu amalan etika am kehakiman di seluruh dunia bahawa mana-mana hakim yang sedang mendengar sesuatu kes, jika mendapati ia sedang berada di dalam keadaan konflik kepentingan dengan kedudukannya samada semasa atau sebelum menjadi seorang hakim, perlu mengecualikan dirinya dalam mendengar apatah lagi memutuskan kes tersebut.

Lebih parah lagi jika ada sebarang cubaan untuk menyembunyikan fakta penglibatan yang terkait dengan konflik berkepentingan sejak dari awal proses penghakiman dijalankan, katanya.

“Semua ini sebenarnya boleh menghakis integriti badan kehakiman yang sepatutnya menjadi tunjang kepercayaan mutlak rakyat terhadap benteng utama kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.- MalaysiaGazette