PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

IPOH – Seorang lelaki bertindak menikam adik kandungnya menggunakan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Mohamad Naseh, Housing Trust  hari ini.

Mangsa maut, Phang Swee Peng, 67, ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh isterinya pada pukul 10.20 pagi selepas dia mendengar bunyi bising di bahagian dapur rumah mereka.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima aduan daripada jiran berhampiran mengenai pergaduhan itu sebelum anggota polis dikerahkan ke lokasi.

Kata beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya menemui seorang lelaki berlumuran darah di bahagian dapur dengan beberapa kesan tikaman senjata tajam manakala seorang lagi lelaki ditemui menggantung diri di bahagian luar rumah.

“Hasil siasatan mendapati sebelum kejadian berdarah itu berlaku pertengkaran antara mangsa yang merupakan pemandu e-hailing dengan abangnya yang bekerja sebagai pemandu teksi.

“Isteri mangsa yang mendengar pertengkaran dua beradik itu keluar untuk melihat kejadian sebelum mendapati abang iparnya menikam beberapa kali bahagian hadapan badan suaminya menggunakan sebilah parang.

“Susulan itu, suspek dikatakan melarikan diri sebelum wanita tersebut menghubungi pihak ambulans untuk bantuan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Azizi, pemeriksaan lanjut pihak polis di lokasi kejadian membawa kepada penemuan suspek dalam keadaan gantung diri di bahagian luar rumah.

“Siasatan mengenai kes ini masih dijalankan termasuk mengenal pasti punca kejadian,” ujar beliau. – MalaysiaGazette