Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Shafa'aton Abu Bakar menunjukkan foto suspek yang menyamar sebagai ejen pengutip wang syarikat telko pada sidang media di IPD Sungai Buloh, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN

SUNGAI BULOH – Tindakan seorang lelaki menyamar ejen pengutip wang syarikat telekomunikasi dengan memperdaya juruwang yang mengutip wang hasil jualan di kiosk telco tumpas.

Polis berjaya menahannya dalam satu serbuan di Jalan Ke 3/2 Kota Emerald, Rawang pada 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, lelaki India berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 pagi susulan laporan polis dibuat seorang wanita yang menjadi mangsa.

“Menurut mangsa yang bekerja di Kiosk DiGi dalam Pasar Raya Very Important Baby World di sini kira-kira pukul 6.10 petang pada 18 Januari lalu didatangi seorang lelaki yang mengaku sebagai juruteknik DiGi dan mahu mengutip duit jualan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Shafa’aton Abu Bakar bercakap kepada pemberita pada sidang media di IPD Sungai Buloh, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN

“Pengadu berasa ragu-ragu dan suspek bertindak seolah-olah tahu mengenai duit hasil jualan yang disimpan di dalam sampul di peti tunai. Suspek menghampiri pengadu dan dia disuruh tunduk di kuanter kedai.

“Pengadu nampak suspek itu membawa senjata pisau yang disimpan di dalam poket seluar menyebabkan pengadu ketakutan dan menyuruh pengadu cepat mengambil duit.

“Suspek seperti cepat mengambil senjata di pinggangnya dan terus mengambil duit di dalam sampul berjumlah RM6,766 dan terus melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hari ini.

Shafa’aton berkata, susulan penahanan lelaki itu, polis merampas sebuah telefon bimbit berserta kad sim DiGi, sehelai t-shirt berwarna biru gelap, sehelai seluar panjang berwarna hitam dan sepasang kasut berwarna hitam.

“Siasatan awal mendapati lelaki yang juga seorang penganggur itu mempunyai tujuh pelbagai rekod lampau termasuk satu kes jenayah dan jenayah komersial serta individu yang dikehendaki,” katanya.

Katanya, lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan Samun Tanpa Senjata Api.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Shafa’aton Abu Bakar menunjukkan foto suspek yang menyamar sebagai ejen pengutip wang syarikat telko di beberapa lokasi sekitar Selangor pada sidang media di IPD Sungai Buloh, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN

Menurut Shafa’aton, dengan penahanan lelaki itu, polis berjaya mengenal pasti sekurang-kurangnya 40 kes jenayah dan jenayah komersil di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur membabitkan kerugian berjumlah RM94,175.

Antara kawasan itu membabitkan daerah Sungai Buloh (8), Kuala Selangor (13), Hulu Selangor (4) Klang Utara (5), Shah Alam (2), Sepang (4), Ampang Jaya (1), Kajang (1), Wangsa Maju (3) dan Brickfield (1).

“Tertuduh ini bergerak aktif bermula dari pertengahan 2021 sehingga ditangkap dengan mensasarkan kedai, farmasi, klinik dan sebagainya yang menggunakan mesin tunai,” jelasnya.

Jelasnya lagi, tertuduh akan menyamar sebagai wakil syarikat atau wakil bank untuk mengambil duit hasil jualan dengan berpura-pura menghubungi pengurus melalui panggilan telefon di hadapan pekerja yang berada di kaunter.

“Tertuduh juga berpura-pura dalam tergesa-gesa dengan alasan untuk memasukan duit sebelum bil penutup pada hari tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast