Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama pengunjung yang hadir pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 Peringkat Negeri Selangor ketika di pekarangan Stadium Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 19 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Hari ini genap setahun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerajui pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri Kesembilan dengan menjadikan Gagasan Keluarga Malaysia sebagai agenda utama.

Mengambil alih kepimpinan negara dalam suasana pandemik Covid-19 dan juga politik negara yang agak tidak stabil, tentunya tidak mudah untuk Datuk Seri Ismail Sabri mengharung cabaran sepanjang tempoh setahun.

Namun kecekalan dan sokongan semua pihak terhadap kepimpinan Ahli parlimen Bera ini yang membawa Gagasan Keluarga Malaysia ternyata mencorakkan semula Malaysia ke landasan yang sepatutnya.

Perkara ini diakui sendiri oleh rakyat yang ditemui MalaysiaGazette dalam Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Selangor baru-baru ini.

Zakaria Ahmad

Usahawan kosmetik, Zakaria Ahmad, 70, mengakui pernah terlintas di fikirannya mengenai ketokohan yang ada pada Naib Presiden UMNO itu kerana baginya Ismail Sabri tidak dianggap sebagai satu nama tokoh yang besar.

“Pada awalnya saya ada tertanya, mampukah beliau untuk bersaing dengan tokoh-tokoh yang hebat sebelum ini dengan secara tiba-tiba dia menjadi Perdana Menteri. Tak sangka pula dia boleh menyaingi PM sebelum-sebelum ini,” katanya.

Kacey Khoo

Pekerja swasta yang baru menamatkan pengajian beberapa bulan lalu, Kacey Khoo, 21, menyifatkan Ismail Sabri sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan sangat prihatin kepada semua golongan terutama kumpulan B40.

“Dia sangat membantu terutama pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita dapat lihat banyak bantuan disediakan. Dia selalu membantu setiap golongan terutama B40 agar dapat mencapai tahap hidup yang lebih selesa. Dia baik dan jaga rakyat,” ujarnya.

Ahmed Azhari Aiman Ahmed Batcha

Perkara itu turut dipersetujui seorang pelajar Kolej Unikop, Cyberjaya, Ahmed Azhari Aiman Ahmed Batcha, 18, apabila melihat keprihatinan Ismail Sabri jauh lebih baik berbanding Perdana Menteri terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yaasin.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada beliau kerana saya rasa beliau banyak sangat membantu rakyat terutama pada pandemik Covid-19 apabila saya lihat sendiri perubahan dan kesungguhan yang ditonjolkannya berbanding Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Rohana Wahab

Bagaimanapun, peniaga industri kecil dan sederhana (IKS), Rohana Wahab, 50, pula mendapati idea dan gagasan yang dibawa oleh Ismail Sabri dilihat hanya menyambung tugas Perdana Menteri terdahulu.

“Saya harap beliau ada matlamat tersendiri supaya kami sebagai rakyat dapat kepercayaan untuk meyakini bahawa beliau boleh mentadbir negara dengan lebih baik.

“Sekarang belum begitu terserlah lagi dan saya berharap Perdana Menteri  berusaha lebih lagi untuk ambil hati rakyat kerana apa yang dibuat beliau seakan hanya menyambung legasi PM terdahulu sahaja,” ulasnya.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya mengumumkan konsep Keluarga Malaysia pada 22 Ogos 2021 sebagai gagasannya yang bermatlamat untuk memulihkan negara ini dalam mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast