Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Para pelajar dibenarkan untuk mendaftar diri untuk mengikuti pengajiannya di Universiti Malaya (UM) sebelum membuat pembayaran yuran sepenuhnya.

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam kenyataan hari ini berkata, ia merupakan kemenangan besar untuk pihaknya selama ini dalam isu tersebut yang membelenggu mahasiswa dan siswi universiti tersebut.

Kata KMUM, ketetapan itu dicapai selepas isu itu mendapat perhatian media dan juga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang kemudian telah mengarahkan pentadbiran UM agar pelajar didaftarkan walaupun belum membayar yuran.

“Ketua Pengarah KPT dikatakan telah menghantar surat kepada pentadbiran UM bertarih 11 Ogos lalu sebagai meminta pihak UM agar membenarkan pelajar mendaftar walaupun belum membuat bayaran yuran penuh.

“Ini merupakan suatu kemenangan buat semua mahasiswa di UM daripada usaha yang telah dilakukan untuk menolak polisi yuran baharu yang tidak masuk akal dan menindas kebajikan mahasiswi dan siswi di UM.

“Namun begitu, apa yang membimbangkan kami adalah Lembaga Pengarah Universiti (LPU) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan atau membuat kata putus mengenai arahan KPT yang diterima itu sehingga kini,” kata KMUM.

Menurut KMUM, suatu notis rasmi dijangka dikeluarkan setelah KPT mengadakan perbincangan dengan LPU dalam mas terdekat untuk menyelesaikan isu polisi yuran membenarkan pelajar berdaftar walaupun belum membuat pembayaran penuh.

Pun begitu, KMUM dalam kenyataan yang sama menegaskan bahawa maklumat itu langsung tidak sampai dan tidak dimaklumkan kepada pihaknya mengenai surat yang telah dihantar KPT kepada pentadbiran UM dalam soal daftar pelajar sebelum bayar yuran.

“Pihak UM seolah-olah menyembunyikan makluman ini daripada mahasiswa dengan tidak memaklumkan langsung kepda KMUM yang merupakan salah satu penerima surat tersebut walaupun surat berkenaan dihantar oleh KPT pada 11 Ogos lalu.

“Perkara yang ditunjukkan oleh pentadbiran UM ini amat tidak wajar kerana melibatkan kebajikan mahasiswa yang semestinya sedang bimbang akan nasib mereka daripada pelaksaan polisi yang tidak masuk akal ini, malah ini bukan kali pertama UM sembunyikan maklumat daripada mahasiswa termasuk pelaksanaan polisi yuran baharu yang diarahkan KPT,” tegas KMUM. – MalaysiaGazette