KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan berjaya menangani isu kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat dengan cemerlang.
Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, sebelum ini, harga ayam segar pernah melonjak sehingga RM11.40 sekilogram ekoran faktor iklim dan krisis makanan global akibat kenaikan harga jagung dan dedak di pasaran antarabangsa.
“Namun, adakah kita peka? Dunia masih lagi bergelut dengan krisis makanan tetapi Malaysia mampu mengatasi isu kenaikan harga ayam ini.
“Formula Ismail Sabri menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi wajar diiktiraf sebagai cemerlang. Tidak cukup dengan itu, beliau telah menghapuskan permit import ayam sekali gus dapat mengawal harga ayam di pasaran.
“Kesannya, hari ini rakyat dapat menikmati harga ayam serendah RM6.50 sekilogram. Antara yang terendah dalam tempoh lima tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas tentang pencapaian setahun pentadbiran Keluarga Malaysia di bawah Ismail Sabri yang dilihat berjaya mengharungi cabaran politik, ekonomi dan kesihatan dalam usaha membawa negara keluar daripada krisis pandemik Covid-19.
Shahbudin menambah, pentadbiran Ismail Sabri juga telah menangguhkan kenaikan tarif elektrik untuk industri dan langkah yang diambil demi mempertahankan ekonomi rakyat itu pasti memberi kesan positif terhadap sektor komersial.
“Pencapaian ekonomi negara secara keseluruhan adalah memberangsangkan dengan kadar inflasi antara terendah dalam kalangan negara-negara ASEAN iaitu 3.4 peratus,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan akan berlangsung di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 21 Ogos ini, mulai pukul 8 pagi hingga 6 petang.
“Simposium yang menampilkan tiga menteri Kabinet, Peguam Negara dan 10 tokoh akademik berpengalaman luas itu akan membincangkan usaha dan inisiatif yang diambil Perdana Menteri sepanjang setahun menakhoda negara. Manis dan pahitnya akan diungkap,” katanya. – MalaysiaGazette