ACP Abd. Khalid Othman

SUBANG JAYA – Seorang lelaki disyaki mecederkan isterinya dengan menggunakan kerusi di bahagian kepala dan badan ditahan polis dirumah pasangan itu di Taman Pinggiran USJ, di sini, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, dalam insiden jam 6.30petang 7 Ogos lalu, perselisihan faham antara pasangan itu dipercayai menjadi punca suspek menyerang dan mencederakan wanita yang berusia 32 tahun itu.

“Suspek yang berang ketika berselisih faham bertindak memukul isterinya dengan kerusi menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lebam di seluruh badan.

“Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya dan menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bertindak atas maklumat laporan polis, menurut Abd. Khalid, pihaknya melakukan serbuan di rumah pasangan itu yang membawa kepada suspek pada Selasa lalu.

Tambah beliau, suspek kini direman empat hari bermula kelmarin di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan.

Abd. Khalid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan kepada pasangan,” ujarnya. -MalaysiaGazette.