KUALA LUMPUR – Hanya berbaki sehari lagi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menggenapkan setahun pentadbirannya sebagai Perdana Menteri Kesembilan apabila mengangkat sumpah pada 21 Ogos tahun lalu.
Tinjauan MalaysiaGazette dalam Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Selangor mendapati, kebanyakan orang ramai melahirkan keterujaan apabila Ahli Parlimen Bera itu mampu memberikan impak positif buat rakyat.
Usahawan kosmetik, Zakaria Ahmad, 70, mengakui pernah menyoal di fikirannya mengenai ketokohan yang ada pada Naib Presiden UMNO itu kerana berpendapat Ismail Sabri tidak dianggap sebagai salah satu nama besar.
“Pada awalnya saya ada tertanya, mampukah beliau untuk bersaing dengan tokoh-tokoh yang hebat sebelum ini dengan secara tiba-tiba dia menjadi Perdana Menteri. Tak sangka pula dia boleh menyaingi PM sebelum-sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pekerja swasta yang baru menamatkan pengajian beberapa bulan lalu, Kacey Khoo, 21, menyifatkan Ismail Sabri sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan sangat prihatin kepada semua golongan terutama kumpulan B40.
“Dia sangat membantu terutama pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita dapat lihat banyak bantuan disediakan. Dia selalu membantu setiap golongan terutama B40 agar dapat mencapai tahap hidup yang lebih selesa. Dia baik dan jaga rakyat,” ujarnya.
Perkara itu turut dipersetujui seorang pelajar Kolej Unikop, Cyberjaya, Ahmed Azhari Aiman Ahmed Batcha, 18, apabila melihat keprihatinan Perdana menteri itu yang jauh lebih baik berbanding Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada beliau kerana saya rasa beliau banyak sangat membantu rakyat terutama pada pandemik Covid-19 apabila saya lihat sendiri perubahan dan kesungguhan yang ditonjolkannya berbanding Tan Sri Muhyiddin,” katanya.
Bagaimanapun, peniaga industri kecil dan sederhana (IKS), Rohana Wahab, 50, pula mendapati idea dan gagasan yang dibawa oleh Ismail Sabri dilihat hanya menyambung tugas Perdana Menteri terdahulu.
“Saya harap beliau ada matlamat tersendiri supaya kami sebagai rakyat dapat kepercayaan untuk meyakini bahawa beliau boleh mentadbir negara dengan lebih baik.
“Sekarang belum nampak keserlahan itu, harapnya PM berusaha lebih lagi untuk ambil hati rakyat kerana apa yang dibuat beliau seakan hanya menyambung legasi PM terdahulu sahaja. Buat masa ini saya belum nampak kesungguhannya membantu kami rakyat marhaen ini,” ujarnya.
Terdahulu, Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya mengumumkan konsep Keluarga Malaysia pada 22 Ogos 2021 sebagai gagasan yang bermatlamat untuk memulihkan negara ini dalam mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi. – MalaysiaGazette