Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Program Bimbingan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) 2022 sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Selangor di Shah Alam, malam ini. Foto: NIZAM ZAIN

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan peruntukan Kerajaan Persekutuan sehingga RM4.7 bilion bagi melaksanakan lima projek tebatan banjir di Selangor tidak ubah seperti menggerakkan semula projek Canal City yang tergendala sejak 2008.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuktikan Kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggir rakyat walaupun Selangor ditadbir Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun Selangor ini kerajaan yang berbeza, tapi demi kebaikan dan kepentingan rakyat, Kerajaan Persekutuan sedia memberi peruntukan untuk membuat projek tebatan banjir, mengelakkan banjir di masa akan datang.

“Kita lihat Selangor ini, kalau dari dahulu Kerajaan Negeri Selangor boleh terima (cadangan) Canal City pada zaman BN, sudah pasti tidak berlaku banjir besar seperti tahun lepas.

“Walaupun Canal City ini telah ditolak oleh kerajaan negeri yang akhirnya banjir melanda, namun Kerajaan Persekutuan terus menjalankan tanggungjawab kepada semua rakyat termasuk di Selangor,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

Terdahulu Noh menyempurnakan Majlis Graduasi Program Bimbingan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) 2022 sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Selangor, di sini.

Terdahulu, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM6.3 bilion bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan fasiliti penyampaian perkhidmatan di Selangor di bawah Rancangan Boleh Pinda Kedua Tahun 2022 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Perdana Menteri berkata, antara projek penting yang akan dilaksana ialah lima projek tebatan banjir dengan peruntukan sebanyak RM4.7 bilion.

Projek itu akan disegerakan bagi mengelakkan kejadian banjir teruk yang menjejaskan kesejahteraan penduduk, ekonomi negeri dan negara berulang lagi.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, keputusan Perdana Menteri itu menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk menjaga kepentingan rakyat biarpun berbeza fahaman politik.

“Walaupun berlainan parti pemerintah di antara negeri dan persekutuan, tetapi kita tetap memberikan peruntukan.

“Kadang-kala rakyat Selangor ini tak berapa nampak sumbangan-sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Projek Canal City merupakan pembinaan terusan air utama sepanjang 18 kilometer (km) merentasi daerah Klang hingga ke Hulu Langat yang akan menghubungkan Sungai Klang dengan Sungai Langat bermatlamat mengalihkan 30 peratus air dari Sungai Klang ke Sungai Langat pada waktu puncak.

Sebanyak RM3 bilion diperuntukkan khusus untuk projek tebatan banjir yang mula dibina pada 2007 sehingga 2009, namun tergendala apabila Kerajaan PH mengambil alih Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12). – MalaysiaGazette