Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) untuk menambahkan bilangan hari cuti rehat khas guru (CRK) dari 10 hari ke 14 hari adalah wajar dan bertepatan pada masanya.

Ini kerana kali terakhir CRK disemak ialah empat tahun lalu iaitu pada tahun 2018 dengan dinaikkan cuti dari tujuh hari kepada 10 hari, hasil usaha perjuangan Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) yang dipimpin oleh Datuk Mohamad Sabri bin Arshad selaku Presiden KONGRES ketika itu.

Presiden Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, Cuti Rehat Khas wajar dinaikkan kepada 14 hari memandangkan jumlah maksimun pengumpulan gentian cuti rehat (GCR) penjawat awam bagi gantian tunai meningkat dari 150 hari kepada 160 hari seperti yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Belanjawan 2022.

Oleh itu, kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan tersebut untuk penjawat awam khususnya warga guru dengan mengambil kira beban tugas yang semakin mencabar dan rencam.

”Jumlah 10 hari CRK kini dilihat tidak mencukupi untuk guru memandangkan faktor keperluan kehidupan guru sekarang.

”Pemberian CRK sebanyak 14 hari akan memudahkan para guru merancang untuk mengumpulkan award gantian tunai mereka pada masa hadapan yang rata-rata sebahagian mereka adalah guru-guru yang telah lama berkhidmat dan memilih untuk bersara awal,” katanya.

Tambah Mohd Azizee, cabaran dunia pendidikan hari ini tidak sama dengan masa lalu khususnya era digitalisasi pendidikan yang memerlukan kecekapan dan kepantasan mengadaptasikan perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran secara digital.

Kesan pendemik Covid 19 dan era digital menuntut guru mengakses kemahiran baharu, kaedah PdPc dan pelaporan secara maya. Ini sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada warga guru serta mencabar emosi dan psikologi mereka.

Pelancaran Program “Sekolahku Sejahtera” oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin bukan terhenti kepada aspek kesejahteraan murid semata-mata tetapi ia juga melibatkan kesejahteraan warga guru agar eko sistem pembelajaran di sekolah berjalan dengan baik dan harmoni.

Justeru, cadangan pemberian CRK sebanyak 14 hari ini akan memberi peluang warga guru memanfaatkan cuti untuk tujuan kesejahteraan emosi dan psikologi serta menguruskan hal-hal peribadi tanpa mengganggu emosi mereka.

”Guru-guru boleh menjadikan pemberian cuti ini sebagai terapi minda dan jiwa kesan kekangan tugas yang mencabar dan berat. Masa-masa ini dapat dimanfaatkan untuk urusan kekeluargaan,merapatkan kasih sayang dengan ahli keluarga, sekali gus membantu meningkatkan motivasi guru dalam kerjaya mereka.

”Jika kerajaan menimbang untuk menaikkan kadar CRK ini sebanyak 14 hari, ia bukanlah bermakna guru-guru menggunakannya sewenang-wenangnya sebaliknya ia perlu dilakukan secara berhikmah tanpa ada mana-mana tekanan daripada mana-mana pihak. Ia juga bukan bermaksud guru culas dan malas dalam menunaikan tanggungjawab sebagai guru tetapi ia satu penghargaan atas jasa dan sumbangan guru yang telah berkorban mendidik anak bangsa,” ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masanya kerajaan khusus Jabatan Perkhidmatan Awam mempertimbangkan cadangan ini demi manfaat warga guru serta kelestarian sistem pendidikan negara.

”Kesejahteraan sekolah terkait dengan kesejahteraan emosi dan psikologi guru-guru. Pemberian ini diharap dapat menterjemahkan semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang sentiasa prihatin dan cakna kepada rakyatnya khususnya warga guru yang menjadi tunjang sekolah sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast