Mayat mangsa yang ditemui berhampiran keretanya di Taman Sri Gadong, Klang awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk kes culik ditemui mati di tepi jalan di Taman Sri Gadong, Klang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, polis tiba di tempat kejadian selepas menerima laporan seorang lelaki tempatan yang terdengar bunyi tembakan dan nampak mangsa terbaring.

”Bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah pergi ke tempat kejadian mendapati mangsa berumur 41 tahun berada dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.

”Pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian telah mengesahkan mangsa tersebut meninggal dunia,” katanya.

Menurut Hoong Foong, tempat kejadian adalah di kawasan perumahan yang mempunyai dua jalan keluar masuk yang menghubungkan ke jalan utama.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian pada jam 12.17 pagi, mangsa didapati sampai di hadapan rumah dengan menaiki kereta jenis Volkswagen Passat dan turun menuju ke pagar rumah.

Kemudian, telah datang sebuah kereta jenis Nissan Almera berhenti di tepi jalan dan keluar tiga lelaki meluru ke arah mangsa serta melepaskan lima hingga lapan das tembakan dari jarak dekat dan juga menetak mengunakan parang sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta yang sama.

Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan telah menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan, tambahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang dan jika disabitkan kesalahan, hendaklah dihukum mati.

Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali individu-individu tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohamed Syahrir bin Zabidi di talian 012-26650895 atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222. – MalaysiaGazette