Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berucap pada majlis Simposium Keluarga Malaysia Pencapaian dan Harapan di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Kadar inflasi di negara ini boleh mencecah sehingga 11.4 peratus sekiranya pemberian subsidi tidak dilaksanakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, langkah bagi mengurangkan beban kewangan rakyat menerusi pemberian subsidi, bantuan dan insentif membolehkan Malaysia merekodkan kadar inflasi 3.4 pada Julai 2022.

“Kalau tiada bantuan subsidi ini Malaysia boleh merekodkan kadar inflasi pada 11.4 peratus berbanding 3.4 peratus setakat Julai lepas,” katanya pada Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan, di sini, hari ini, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mustapa yang membentangkan laporan mengenai pencapaian ‘Keluarga Malaysia Menangani Cabaran Ekonomi’ berkata daripada subsidi berjumlah RM77.7 bilion pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan hampir separuh daripadanya iaitu sebanyak RM38.3 bilion bagi petroleum untuk RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

“Dengan adanya subsidi RM77.7 billion, yang paling tinggi adalah bantuan subsidi bagi petroleum kerana harga RON95 masih pada harga RM2.05 dan diesel berharga RM2.15, walaupun harga di pasaran antarabangsa melebihi harga di negara ini,” katanya.

Pemberian subsidi lain termasuk minyak masak sebanyak RM4.0 bilion, ayam dan telur (RM1.1 bilion), elektrik, tol dan lain-lain (RM8.2 bilion), Bantuan Keluarga Malaysia (RM8.15 bilion) serta bantuan dan insentif (RM18.1 bilion). – BERNAMA