Sesi fotografi bersama Penasihat Keagamaan dan Modal Insan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar dan Ahli Spiritual Indonesia, Gus Nur (kanan) dalam Program Borak MG di Pejabat Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR — “Saya cabar pelakon-pelakon di negara ini bawa watak ustaz dengan lengkap termasuk bacaan al-Quran yang betul.”

Itu tegas Penasihat Keagamaan dan Modal Insan Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar yang juga seorang pelakon dan pengamal perubatan Islam terkenal.

Menurut beliau, pelakon yang membawa watak ustaz dalam filem sering mempunyai sebutan dan bacaan salah.

“Ustaz dalam filem baca tak betul, baca bismillah pun salah, macam ustaz palsu.

“Bacaan mestilah ikut makhrajtul huruf, dijaga tajwidnya bacaan mesti jelas” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Sementara itu, Tuan Asmawi mendakwa filem dan drama seram di Malaysia juga menggambarkan pengamal perubatan membaca hizib bukan rukyah.

Temubual Eksklusif bersama Penasihat Keagamaan dan Modal Insan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar dan Ahli Spiritual Indonesia, Gus Nur (kanan) dalam Program Borak MG di Pejabat Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2022.

“Di Malaysia ini, ramai penerbit filem buat cerita yang tak logik, tak masuk akal. Kalau nak buat cerita, tanya dulu ahlinya. Kalau nak buat cerita tarung, aksi laga, kena tanya ahlinya. Kalau nak buat cerita hantu, sekurang-kurangnya tanyalah kami, kami sudah lama,” tegasnya.

Nasihat itu, katanya, bukan kerana beliau mahu dipanggil berlakon tetapi dibuat bagi memastikan penggunaan rukyah digambarkan secara tepat bukan sekadar hizib.

Sementara itu, pengamal spiritual terkenal Indonesia, Gus Nur Syamsun menegaskan, hizib dan rukyah adalah dua perkara yang berbeza.

“Hizib itu ertinya perkumpulan dari pelbagai nama Allah atau selawat dan amalan yang digabungkan menjadi satu dan diambil intisarinya.

“Seperti Asmaul Husna, mungkin diambil Al-Rahman (Yang Maha Pengasih), Ar-Rahim (Yang Maha Penyayang) Ya Muntaqin (Yang Maha Memberi Azab), Ya Jabbar (Maha Pemaksa).

“Hizib menggunakan bahagian tertentu dalam Asmaul Husna dan dirangkumkan beberapa amalan dan seterusnya dipanggil hizib,” katanya.

Rukyah pula mengambil kalimah dari kitab suci al-Quran bukan nama-nama Allah dan bukan selawat nabi.

“Dalam filem jika nak katakan hizib untuk mengubati orang.. cara perubatan rukyah tapi bacaannya bukan rukyah. Tak boleh lah kalau menggunakan cara hizib tapi guna nama rukyah.

“Rukyah boleh dibuat melalui cara dimandikan, diurut, ditiup, dipegang kepala, ada yang boleh dibuat dari jarak jauh sahaja” katanya.

Berdasarkan pengalaman beliau, terdapat tujuh cara rukyah yang digunakan oleh pengamal perubatan Islam.

Dalam pada itu, Tuan Asmawi berkata, beliau dan Gus Nur bersedia melakonkan watak pengamal perubatan Islam dalam filem seterusnya menggambarkan cara sebenar amalan menghalang serangan sihir.

Menurutnya, jika filem Mat Kilau menggunakan pelakon terkenal Indonesia, Yayan Ruhian sebagai usaha menarik penonton republik berkenaan mengapa tidak menggabungkannya dengan Gur Nur untuk filem seram. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Gus nyaris mati rawat orang ternama Malaysia disantau lebih 10 bomoh Siam