PASIR GUDANG – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menafikan dakwaan bahawa parti berkenaan gagal meraih undi bukan Melayu.
Katanya, sebaliknya parti tersebut kini kembali mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat dan terbukti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu apabila MCA merampas empat kerusi daripada parti DAP.
“MCA memang sudah menunjukkan kita menerima sokongan pelbagai pihak. Kita minta semua pihak mengekalkan momentum serta tidak berbalah sesama sendiri.
“Kita (MCA) sudah lakukan terbaik, kita ikhtiar, kita buat, PRN Johor kita telah lakukan. Siapa sangka dikawasan Yong Peng di bawah Parlimen Ayer Hitam dengan 58 peratus pengundi Cina, kita boleh menang.
“Dulu kita kalah 5,089 undi akhirnya kita menang 2,741 undi. Dalam keadaan peratusan populasi kaum Cina 58 peratus Cina, 7 peratus India dan 35 peratus Melayu. Dalam keadaan ini kita dapat bukan sahaja kurangkan defisit tetapi kita tambah majoriti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) ‘Cares Keluarga Malaysia’ di sini, hari ini.
Ka Siong mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa sokongan kepada MCA dan MIC semakin merosot sejak Pilihan Raya Umum ke-13.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu memberitahu, masih ada ruang yang boleh diperbaiki MCA dan parti itu akan memastikan kepercayaan rakyat bertambah.
“Saya tidak mahu komen terhadap apa yang orang kata, kita sendiri kalau ada silap kita perbaiki, kalau tidak ada silap, kita ‘move on’ kerja kuat dan lakukan yang terbaik. Yang penting ialah kita telah melaksanakannya.
“Dulu kita kalah teruk. Di Melaka saya beri contoh masa PRN Melaka tiada undi 18 tetapi di Johor ada undi 18. Jadi saya rasa PRN ini menunjukkan satu perkara, satu kemungkinan yang dulu orang rasa tidak mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette