Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan esok sama ada membenarkan pasukan pembelaan mendapatkan kenyataan bertulis saksi utama, Rafiq Hakim Razali dalam kes perbicaraan kes pecah amanah dan penggubahan wang haramAhli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, beliau kesuntukan masa untuk menilai hujah yang dikemukakan peguam, Gobind Deo Singh dan juga hujahan balas pasukan pendakwa raya hari ini.

Sebelum itu, Gobind berkata, kenyataan penuh saksi utama iaitu Rafiq, 32, yang merupakan bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperlukam kerana ia didakwa bercanggah dengan kenyataan lisan dalam mahkamah.

Beliau berkata, percanggahan itu membabitkan tempat dan masa arahan didakwa diberi oleh tertuduh yang juga bekas Ketua ARMADA Bersatu untuk pengeluaran wang RM1 juta.

Gobind menambah, saksi juga menyatakan kepada pegawai penyiasat SPRM wang dalam akaun ARMADA adalah hasil kutipan dana orang ramai oleh Syed Saddiq untuk berkempen di Muar.

“Dalam mahkamah, Rafiq Hakim menyebut dana dikutip untuk kegunaan ARMADA dan ia dua perkara berlainan. Permohonan untuk mendapatkan dokumen itu dibuat mengikut Seksyen 51 Kanun Prosedur Jenayah.

“Ia tidak menetapkan pihak pendakwaan menyerahkannya namun kami boleh membuat permohonan dan mahkamah mempunyai kuasa memutuskan perkara itu,” katanya.

Namun Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah menolak permohonan itu kerana dibuat tanpa memenuhi syarat kukuh mengikut Seksyen 51 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, pihak pembelaan tidak akan berdepan masalah untuk meneruskan prosiding dan pemeriksaan balas kes jika tidak mendapat dokumen kenyataan berkenaan.

“Kami berhujah dengan pendirian dokumen itu tidak mengubah proses prosiding dan kekal sebagai dokumen privilege (istimewa),” katanya.

Pada 25 Julai lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan pihak pendakwaan mengemukakan pernyataan saksi utama selepas meneliti dan mendengar hujah pasukan pembelaan yang diakui oleh pihak pendakwaan di bawah Seksyen 30 Akta SPRM.

Azhar berkata, salinan itu perlu diserahkan kepada mahkamah dan menjelaskan, sebarang perbezaan atau percanggahan keterangan akan diteliti sebelum keputusan dibuat kemudian.

Mahkamah ketika ini mendengar perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 29, atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq yang juga bekas menteri didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – MalaysiaGazette