Nasrul Hasan Ali (tengah) bersama kepimpinan Pemuda GTA pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi petang ini.

KUALA LUMPUR – Pemuda Gerakan Tanah Air (GTA) menggesa polis menjalankan siasatan termasuk menahan dan mendakwa sesiapa sahaja menggunakan media untuk memfitnah kebencian terhadap institusi mahkamah.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, perbuatan itu membawa imej salah iaitu menghina dan mencabar kemuliaan mahkamah yang boleh disifatkan sebagai pengkhianatan kepada negara, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Penghinaan kepada proses penghakiman, lebih lagi yang dijalankan oleh Ketua Hakim Negara oleh mana-mana individu boleh disifatkan sebagai pengkhianatan kepada negara dan Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong yang telah melantik Ketua Hakim Negara.

“Takrif pengkhianat negara adalah menderhaka kepada ketua negara iaitu YDB Agong, hukumnya ialah bunuh. Sepatutnya setiap rakyat mengetahuinya dan menghayati undang-undang negara yang dizahirkan di bawah prinsip Rukun Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi berhubung satu video di aplikasi Tik Tok yang tular melalui akaun Beritakini8 di sini hari ini.

Kata Nasrul Ali Hasan, selepas meneliti video itu, beliau mendapati terdapat salah laku berdasarkan kenyataannya “Datuk Seri Najib dizalimi dan ditindas kiri dan kanan seperti negara Malaysia ini umpama negara Israel”.

Menurut beliau, kenyataan dalam video itu  telah memperlekehkan kewibawaan hakim dan sistem mahkamah yang sedang menjalankan proses penghakiman mengikut lunas undang-undang negara.

“Seruannya untuk berhimpun pada 24 Ogos ini jam 2 petang di Istana Negara dengan mengajak dan menghasut orang awam beramai-ramai dikhuatiri akan menganggu ketenteraman awam.

“Lebih lagi melibatkan kawasan Istana Negara dan perbuatan ini adalah untuk mempengaruhi keputusan mahkamah secara tidak adil serta boleh mencalar ketelusan proses penghakiman yang sedang berlangsung,” katanya. – MalaysiaGazette