PETALING JAYA – UMNO Bahagian Petaling Jaya hari ini mendesak polis menyiasat kenyataan individu bernama Zamani Ibrahim yang dipercayai suami kepada Ketua Hakim Negara yang didakwa mencalar imej sistem keadilan negara.

Ketua Pergerakan Pemudanya, A’zlan Abu Bakar berkata, kenyataan terbuka Zamani dikhuatiri boleh mempengaruhi penghakiman Ketua Hakim Negara susulan suaminya itu dilihat anti Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mentelah isi kandunganya secara munasabah berupaya membawa kepada tafsiran yang penulis (suami Ketua Hakim Negara) yang suka Datuk Seri Najib jatuh.

“Isi kandungan ini saya percaya dan yakin berupaya mencalarkan imej sistem keadilan negara.

“Saya membuat laporan ini meminta polis menyiasat demi melindungi integriti institusi kehakiman negara, Ketua Hakim Negara serta semua hakim agar tidak menjadi bagai setitik nila maka musnah susu sebelanga,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Terdahulu A’zlan bersama Setiausaha UMNO Bahagian Petaling Jaya, Mohamed Sam Ab Wahid membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya, di sini, berhubung hantaran Zamani baru-baru ini.

Berikut adalah pautan hantaran Zamani https://www.facebook.com/zamani.ibrahim.9/posts/pfbid02QpiyarbzkLT1cM34tunEbQGvXUoVcCLao9oNTd7JxYKFdhXiYyS3HLCiv1hrX2e4l.

Dalam pada itu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat perlu mencontohi dan mengikut jejak langkah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang menarik diri daripada mendengar kes Najib.

“Ini kerana abang beliau (yang saya percaya tidak duduk serumah dengannya) terlibat dalam arena politik dan kenal dengan Datuk Seri Najib Razak.

“Tindakan Yang Arif Sofian telah menaikkan imej ketelusan sistem keadilan negara apatah lagi hanya berlaku di peringkat mahkamah tertinggi dalam sistem keadilan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast