KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menafikan mesyuarat tergempar Ketua-ketua Bahagian parti itu ada membincangkan mengenai usul mendesak Perdana Menteri campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Asyraf berkata, perkara itu tidak langsung disentuh dalam mesyuarat yang diadakan selama dua jam itu di Menara Dato’ Onn, hari ini.
“Saya turut berada dalam mesyuarat yang bermula kira-kira pukul 11.30 pagi hingga pukul 1.30 tengahari.
“Tiada langsung agenda perbincangan mendesak PM mencampuri urusan mahkamah apatah lagi seolah-olah wujud pertentangan di kalangan kepimpinan Bahagian mengenainya,” kataya dalam satu kenyataan.
Asyraf merujuk kepada laporan media bahawa 198 Ketua-ketua Bahagian UMNO hari ini sebulat suara untuk mendesak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk campur tangan dalam kes SRC International Sdn. Bhd.
Laporan memetik sumber itu rata-rata melaporkan kesemua ketua-ketua bahagian parti tersebut tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan pemimpin utama UMNO.
Menurut sumber itu lagi, ada dalam kalangan kalangan ketua bahagian yang terpaksa datang selepas dipercayai diberi kata dua, tidak akan diberi watikah untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelas Asyraf, adalah tidak logik untuk mendesak Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO untuk masuk campur dalam kes yang sedang dibicarakan.
“Lagipun bukan PM yang melantik Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan yang ada hari ini, tidak sebagai mana zaman Tun Mahathir yang terlibat dalam pemilihan hakim-hakim seperti dakwaan Tommy Thomas selaku Bekas Peguam Negara dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness.’
“Apa yang boleh saya kongsikan secara umum, perbincangan tadi lebih kepada isu-isu mengenai PRU-15,” katanya. – MalaysiaGazette