KUALA LUMPUR – Penyokong Pakatan Harapan (PH) ditempelak kerana berubah pendirian terhadap kredibiliti peguam, Datuk Zaid Ibrahim setelah bekas menteri itu tidak lagi bersama mereka.
Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, agak melucukan apabila memikirkan Zaid sebelum ini pernah menjadi ‘kesayangan’ penyokong PH.
“Namun apabila Zaid membuat keputusan untuk membela Datuk Seri Najib Razak dan mengeluarkan kenyataan berkaitan tiba-tiba penyokong PH melabelkan beliau sebagai ‘tidak berkredibiliti’.
“Oh… adakah itu bermakna DAP pernah memilih seorang individu yang tidak berkredibiliti untuk mengetuai parti tersebut di Kelantan?” soalnya sinis dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Zaid dilantik menjadi Pengerusi DAP Kelantan pada Januari 2020 selepas menyertai parti berkenaan pada 2017 sebagai ahli seumur hidup.
Beliau menjadi sasaran kritikan penyokong PH setelah firma guammnya, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners dilantik untuk membela Najib dalam prosiding rayuan akhir kes SRC International. – MalaysiaGazette