Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Seorang gadis remaja Orang Asli berusia 14 tahun dipercayai mati dibunuh melibatkan unsur serangan seksual ditemui di Bukit Ibam, Muadazam Shah semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mayat mangsa yang bekerja sebagai pekerja ladang tembikai itu ditemui oleh ayahnya dan sepupu mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

Hasil siasatan awal mendapati lokasi kejadian di kawasan lereng bukit semak dan jarak dengan jalan utama lebih kurang 1.5 kilometer.

“Mangsa merupakan anak pertama daripada tiga orang adik beradik, sudah tidak bersekolah dan bekerja dengan ayahnya di Ladang Tembikai Muadzam Shah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Hasil siasatan di lokasi kejadian telah menemui sepasang selipar warna merah jambu milik mangsa kira-kira 21 meter daripada kawasan mayat ditemui.

Difahamkan mangsa telah keluar daripada rumah sejak pada 20 Ogos lalu tanpa memaklumkan kepada ahli keluarganya untuk bertemu lelaki yang juga dari kalangan Orang Asli.

Ramli berkata, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Sesyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu tular satu video seorang gadis Orang Asli berasal dari Bukit Ibam dirogol dan dibunuh.

Video yang dimuat naik menerusi melalui aplikasi TikTok menunjukkan mayat mangsa ditemui di kawasan semak. – MalaysiaGazette