KUALA LUMPUR – Pas berjaya meletakkan Kelantan sebagai negeri sifar rasuah sepanjang tempoh 32 tahun pentadbirannya di negeri itu.
Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, pencapaian itu menjadikan Pas sebagai sebuah parti politik yang paling layak bercakap soal integriti.
“Tanpa menafikan sebarang kekurangan yang berlaku tetapi realitinya kita boleh berbangga bahawa Kelantan adalah sebuah negeri paling berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, kerajaan Kelantan pernah dianugerahkan Sijil Penarafan 5 Bintang dalam Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Tahun 2016 dengan memperolehi markah 98.61.
Selain itu, Nasrudin berkata, pada 26 Ogos 2019, Pensijilan MS ISO dengan standard baharu 37001:2016 daripada SIRIM QAS International dikeluarkan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dan berkuat kuasa sehingga 25 Ogos lalu.
“Skop utama pensijilan itu adalah Sistem Pengurusan Antirasuah Meliputi Pengurusan Perolehan, Penawaran Rumah, Pengurusan Sumber Manusia, Pengurusan Aset, Pengurusan Peruntukan Kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pengurusan Bagi Permohonan Pelaburan Negeri dan Proses Sokongan Berkaitan,” jelasnya.
Beliau menambah, Kelantan menjadi negeri pertama di Semenanjung Malaysia yang berjaya memperoleh Pensijilan MS ISO 9001:2015 di bawah Skop Pengurusan Pengeluaran Kayu Bulat secara berkekalan bagi Hutan Darat Asli di Hutan Simpan Kekal yang berkuat kuasa sehingga 5 Julai 2025.
“Anugerah ini membuktikan bahawa pengurusan hutan Kelantan mengikut setiap garis panduan serta ketetapan yang dibuat oleh badan pensijilan,” katanya.
Nasrudin memberitahu, selain sifar rasuah, rakyat Kelantan juga hidup makmur dan orang bukan Islam damai menjalani kehidupan seharian tanpa diskriminasi termasuk hak ibadah mereka tidak pernah digugat.
“Sejarah turut membuktikan apabila berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang dianggap kemuncak masalah perpaduan di Malaysia, ia tidak berlaku di Kelantan yang ditadbir oleh Pas pada waktu itu,” katanya.
Beliau berkata, adalah tidak menghairankan apabila Kelantan turut menerima Sijil Penarafan 5 Bintang dalam Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2016 hasil pemarkahan yang tinggi dari segi komitmen pengurusan, keselamatan fizikal, keselamatan dokumen dan keselamatan peribadi. – MalaysiaGazette