Ahmad Marzuk Shaary

MELAKA – Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) terutamanya yang mempunyai kes ajaran sesat Hadi Minallah digesa lebih proaktif mengadakan muzakarah fatwa bagi membolehkan tindakan diambil terhadap gerakan tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, setakat ini pihaknya hanya dapat melakukan pengawasan terhadap kumpulan itu di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

“Setakat ni pihak sudah mengenal pasti kumpulan ini memang satu ajaran yang menyeleweng daripada Islam dan kita serah kepada negeri masing-masing.

“Negeri yang ada gerakan ajaran tersebut terutamanya, mereka perlu lebih proaktif untuk mengadakan muzakarah fatwa negeri masing-masing supaya nanti boleh diambil tindakan berdasarkan fatwa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Seminar Penghayatan Nilai-nilai Islam Penjawat Awam Peringkat Negeri Melaka di Auditorium Masjid Al Azim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, setakat ini, hanya tiga negeri iaitu Selangor, Johor dan Kedah sudah melakukan siasatan terhadap kumpulan itu yang mungkin dikenakan pendakwaan.

“Semua keputusan berkaitan ajaran sesat ini kita pulangkan hak urusan agama termasuklah soal menfatwakan atau mengenakan apa-apa tindakan ke pada negeri.

“Ada pun jika ianya berlaku di Wilayah Persekutuan, ini di bawah bidang kuasa kitalah seperti  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap pengasas mahu pun gerakan ajaran sesat di negara ini tanpa kebenaran Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu. – MalaysiaGazette