Khairil Nizam Khirudin.

KUALA LUMPUR – Pas menggesa kes-kes rasuah dan pecah amanah melibatkan ahli politik dapat dihakimi dengan seadilnya sebelum Pilihan Raya Umum Kali Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan Pas Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, perkara ini penting agar ia dapat mengembalikan tahap kepercayaan rakyat kepada institusi kehakiman, legislatif dan eksekutif di dalam negara ini.

“Kes-kes yang melibatkan Lim Guan Eng, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara yang perlu dibicara secara adil.

“Lebih memalukan apabila ada yang telah dan cuba menggunakan kuasa politik untuk membebaskan diri daripada dibacarakan secara adil di mahkamah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Jelasnya, jika berani dan benar, berilah kepercayaan sepenuhnya kepada mahkamah sebagai ruang untuk membebaskan diri daripada tuduhan.

“Pas konsisten menolak budaya rasuah seiring dengan larangan agama Islam yang mengharamkan umatnya memakan harta orang lain dengan cara yang batil.

Katanya lagi, larangan berkenaan jelas adalah untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan agama.

“Pas akan terus memperjuangkan integriti dan melawan rasuah. Alhamdulillah, sehingga hari ini Pas konsisten tidak disabitkan dengan kes rasuah meski pun mentadbir tiga buah negeri dan sebahagian kementerian dalam kerajaan Persekutuan.

“Jika terdapat kes di dalam parti, Pas sendiri yang akan bawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan,” katanya. – MalaysiaGazette