PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan wujudnya desakan daripada UMNO supaya beliau campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Beliau membuat penafian itu selepas ditanya wartawan berkenaan laporan yang tular memetik sumber dalaman berhubung ramai ketua bahagian yang hadir dalam mesyuarat tergempar UMNO di Menara Dato Onn semalam mendesak beliau campur tangan kes bekas Perdana Menteri itu.
“Tiada, tiada,” katanya ringkas kepada media selepas meninggalkan Majlis Konsultasi Bajet 2023 di sini, hari ini.
Semalam, sebuah laman portal melaporkan ramai ketua bahagian yang hadir mesyuarat tersebut tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan pemimpin utama UMNO untuk Ismail Sabri campur tangan dalam kes Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan.
Menurut sumber itu, ada dalam kalangan ketua bahagian yang terpaksa datang selepas dipercayai diberi kata dua, tidak akan diberi watikah untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sumber tersebut juga memaklumkan, ada yang berpendapat sekiranya Perdana Menteri campur tangan dalam kes mahkamah ia boleh menyebabkan UMNO sekali lagi tewas dalam PRU15.
Sementara itu, ketika ditanya perjumpaan dengan pemimpin UMNO di Seri Perdana malam tadi, Ismail Sabri berkata, ia hanya sekadar persediaan parti ke arah Pilihan Raya Uumum (PRU).
Katanya, perbincangan juga adalah bagi mencari usaha untuk mengukuhkan parti.
“Seperti yang dinyatakan Tok Mat (Mohamad Hasan) semalam, pertemuan adalah untuk persedian parti ke arah PRU, perjumpaan untuk mengukuhkan parti,” ujarnya.
Semalam, sejurus pertemuan di Menara Dato Onn, kenderaan membawa beberapa pemimpin UMNO dilihat memasuki perkarangan Kompleks Seri Perdana sejak pukul 6 petang.
Antara yang kelihatan ialah kenderaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO dan Ketua UMNO Bera, tidak menghadiri pertemuan tergempar di ibu pejabat UMNO.
Ketua Bahagian UMNO seluruh negara sebulat suara meminta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos memaklumkan, hasrat itu disampaikan dalam pertemuan tergempar antara mereka dengan Presiden UMNO, Datuk Ser Dr. Ahmad Zahid Hamidi. – MalaysiaGazette