Dr. Abdul Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli mempertahankan pendedahan awalnya bahawa Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Zainab Mohd Salleh yang didakwa sebagai isteri kedua Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terlibat dengan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, Abdul Latiff menubuhkan syarikat Mega P Asia Sdn Bhd (Mega P Asia) yang menjadi subkontraktor projek-projek pertahanan laut negara dengan seorang rakyat Perancis bernama Thierry Barrier.

”Mega P Asia Sdn Bhd ditubuhkan oleh Dr. Latiff Ahmad bersama-sama Thierry Barrier yang masing-masing memegang satu saham semasa penubuhan. Ini mengukuhkan dakwaan bahawa Abdul Latiff terlibat di dalam skim penipuan menggunakan invois-invois palsu melibatkan Alizes Marine Limited, memandangkan invois-invois itu berkait dengan Thierry Barrier (seperti yang dilaporkan di dalam Laporan Forensik Projek LCS).

”Hubung kait di antara Abdul Latiff Ahmad dengan Zainab Mohd Salleh diperkuatkan lagi apabila semakan pemilikan saham Mega P Asia Sdn Bhd menunjukkan Abdul Latiff Ahmad dan Zainab Mohd Salleh merupakan pemegang majoriti saham-saham syarikat itu.

”Maklumat Borang 68 (perincian pemegang saham sesebuah syarikat) bagi tahun 2017 yang difailkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan bahawa Dr. Latiff Ahmad memegang 105,002 saham dan Zainab Mohd Salleh memegang 245,000 saham di dalam Mega P Asia Sdn Bhd.

”Laporan kewangan Mega P Asia Sdn Bhd yang diaudit bagi tahun kewangan 2016 menunjukkan bahawa syarikat Mega P Asia Sdn Bhd (yang ditubuhkan Dr. Latiff Ahmad) dikawal oleh Zainab Mohd Salleh (rujuk ā€œ6Cā€),” katanya dalam hantaran
Facebook.

Dan, Thierry dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai salah seorang individu yang terlibat di dalam pemalsuan invois-invois Alizes Marine Limited dengan menggunakan pelbagai alamat palsu di Perancis.

Menurutnya, pemegang-pemegang saham Mega P Asia adalah Abdul Latiff Ahmad dan Zainab dan Zainab pula adalah pemegang saham yang mengawal Alizes Marine Limited.

Laporan Forensik Projek LCS dakwanya, menamakan Zainab sebagai isteri Abdul Latiff.

”Bukti-bukti ini sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri (kedua) Abdul Latiff Ahmad dan kedua-dua mereka terlibat di dalam Marine Alizes Limited yang dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai syarikat yang menyelewengkan sehingga RM210 juta dana dari projek LCS.

”Jika benar Zainab Mohd Salleh bukan isteri (kedua) Abdul Latiff seperti yang disebut di dalam Laporan Forensik Projek LCS, kenapa Abdul Latiff memberikan saham majoriti dan membenarkan Zainab mengawal Mega P Asia Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkannya dan mendapat kontrak bernilai jutaan ringgit dari projek-projek Kementerian Pertahanan?,”
soalnya. – MalaysiaGazette