Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin bersama barisan pengurusan tertinggi dan pegawai kanan serta sebahagian kakitangan UTeM mengibarkan Jalur Gemilang menjayakan pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat UTeM di Dataran Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka semalam.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjayakan pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat UTeM di Dataran Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka semalam.

Majlis pelancaran yang dianjurkan oleh Pejabat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori (PKKPC) itu telah dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi dan pegawai kanan serta bersama sebahagian kakitangan UTeM.

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, keluarga UTeM sentiasa prihatin dalam memartabatkan kemerdekaan negara kita yang kini berusia 65 tahun.

Katanya, walaupun program diadakan secara ringkas namun beliau yakin semangat patriotisme dan cintakan negara sentiasa terpahat di dalam hati sanubari kita sepanjang masa.

“Saya amat mengharapkan agar kita semua warga UTeM akan lebih memahami dan menghayati erti kemerdekaan serta mendalami maksud tema kemerdekaan pada kali ke-65 iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

“Tema ini adalah sangat bersesuaian dengan konsep kesepaduan yang disematkan dalam kalangan ahli keluarga UTeM dan pada masa yang sama memastikan UTeM berada di persada antarabangsa,” ujarnya sewaktu memberikan ucapan dalam majlis tersebut.

Beliau mahu kepada warga UTeM agar sentiasa bersatu padu dan bersama-sama menggembleng tenaga bersama seperti kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Dalam majlis tersebut, Dr Massila bersama pengurusan tertinggi UTeM mengibar Jalur Gemilang dan turut menampal bendera pada kenderaan rasmi universiti termasuklah kereta-kereta pegawai pengurusan tertinggi, kenderaan rasmi pejabat keselamatan dan ambulans Pusat Kesihatan UTeM.

Kempen Kibar Jalur Gemilang ini merupakan antara program daripada beberapa siri aktiviti patriotik dan kenegaraan yang diadakan di UTeM sempena sambutan kemerdekaan 31 Ogos dan sambutan Hari Malaysia pada 16 September kelak. – MalaysiaGazette